Monday, November 19, 2007

KEHEBATAN INSAN JIKA KEMBALI KEPADA FITRAH

KEHEBATAN INSAN JIKA KEMBALI KEPADA FITRAH
Oleh : Cui_Al_Dikki

Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia oleh Allah SWT diiringi dengan kehebatan dalam keadaan fitrah suci bersih dari segala dosa dan noda. Namun sifat fizikal manusia yang lemah, lupa dan alpa akan sentiasa terdedah kepada kesalahan dan kesilapan. Tambahan pula rentetan hawa nafsu yang menyelubungi diri dengan gabungan serangan bertali arus dari syaitan pula akan menjadikan manusia yang asalnya suci sejak permulaan fitrahnya ini mula terdedah kepada pencemaran diri dengan palutan dosa yang bertimpa - timpa.
Islam amat menyayangi pengikutnya. Setiap dosa ada tebusannya asalkan disertai dengan taubat nasuha dan linangan air mata keinsafan yang menginsafi diri untuk tidak mengulangi kesilapan semalam. Setiap anak Adam pasti melakukan dosa dan kesalahan namun sebaik-baik anak Adam yang telah melakukan kesalahan adalah orang yang paling cepat bertaubat.
Banyak elemen penghapus dosa telah dibongkar melalui petunjuk baginda. Berpuasa di bulan Ramadhan, bersedekah, beristighfar memohon ampun serta mengembalikan hak orang lain kepada pemiliknya adalah merupakan beberapa agen penghapus dosa yang telah kita lalui dengan jayanya sebulan di Bulan Ramadhan Al-Mubarak baru - baru ini. Akhirnya kita dikalungkan dengan darjah kemuliaan pada Hari Raya Aidil Fitri dari Allah SWT pemilik segala keagungan.
Hari raya adalah hari bergembira yang merupakan hak bagi orang yang telah kembali kepada fitrah kesucian manusia iaitu kembali kepada kesucian fitrah. Fitrah milik insan adalah kehebatan dan kesucian hati di atas landasan ketaatan kepada tuhan. Lambang kesucian ini adalah putih. Putih adalah warna fitrah. Lihatlah, susu yang putih adalah bagaikan kain putih yang belum dicorakkan dengan apa jua warna dan lukisan.
Suatu ketika Nabi Muhammad SAW pernah menganalogi fitrah insan yang dilahirkan dalam rupa bayi yang comel umpama kain putih yang dilahirkan dalam fitrah. Lalu ke atas kedua ibu dan bapanya yang akan mencorakkan samada dalam bentuk lukisan Yahudi atau pun seni reka cipta milik Nasrani dan Majusi.
Pertembungan antara bisikan kebaikan dan runtunan kejahatan tidak akan berakhir sehinggalah berlalunya hari Kiamat. Kita tidak punya kekuatan yang ampuh untuk mengerjakan kebaikan dan diri kita terlalu lemah untuk tidak tenggelam dalam lautan hawa nafsu dan tipu daya Syaitan namun tanpa kita sedari sebenarnya kita ada seketul daging yang memiliki kehebatan yang tidak mampu dibilang kuasanya. Ia boleh berubah menjadi lebih hebat daripada malaikat dalam kebaikan sekiranya disucikan dengan siraman taubat nasuha dan rintihan penyesalan. Namun awas andai jika kita membiarkan seketul daging ini rosak binasa maka ia akan bertukar menjadi makhluk yang paling ganas sehinggalah pemilik hati itu ibarat manusia bertopengkan syaitan dan menjunamkan martabat insan sehingga serendah kedukan bahkan lebih rendah daripada binatang.
Maka beruntunglah bagi mereka yang menyucikan hati mereka dan kerugian serta kecelakaanlah bagi mereka yang mengotorinya. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik - baiknya kemudian Kami akan kembalikan dia ke tempat yang serendah - rendahnya - Surah At - Tiin Ayat 4 hingga 5. Itulah seketul daging yang dinamai hati.
Hati insan yang menuruti skema penyucian berterusan akan menjana pemiliknya kekuatan luar biasa walaupun tubuh pemiliknya hanyalah insan kerdil lagi biasa - biasa saja. Sukatan wajib penyucian hati ini telah pun kita lalui di Bulan Ramadhan tempoh hari. Ramadhan yang membawa kepanasan kerana dalamnya dosa dicernakan. Inilah janji Ramadhan buat bekalan dalam mendepani cabaran sebelas bulan yang bakal mendatang.
Insan yang ikhlas menyucikan hati dan jiwanya akan keluar dari Ramadhan bagaikan memulakan hari baru dalam lembaran hidupnya seperti hari pertama dilahirkan dari perut ibunya ke dunia yang sementara ini. Bukankah Rasulullah SAW pembimbing agung telah bersabda ; Solat 5 waktu ke solat 5 waktu yang lain, Jumaat ke Jumaat minggu ke minggu serta Ramadhan tahun ini sehinggalah menjelang Ramadhan yang bakal menjelang adalah penghapus noda dan dosa selagi mana pemiliknya tidak melaksanakan dosa-dosa besar’ -
Kembali kepada fitrah melonjak titik permulaan insan untuk berubah dan merangka kehidupan yang lebih terarah.

No comments: