Wednesday, October 04, 2006

Cabaran Aqidah Umat Islam & Cadangan Penyelesaiannya

oleh : Cui Al-Dikki
Malaysia kini rancak mengorak langkah menuju negara maju menjelang tahun 2020. Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan berteraskan misi nasional adalah merupakan jentera utama pemacu negara ke arah wawasan tersebut di bawah kepemimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kepelbagaian cabaran ke arah merealisasikan wawasan idaman semua rakyat Malaysia yang realitinya adalah berbilang kaum serta berbilang agama pastinya terbentang luas menanti di hadapan. Pokok persoalannya di sini ialah mampukah umat Islam di Malaysia bertahan dan memelihara aqidah bahawa Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah dalam mendepani semua cabaran ke atas aqidah yang kian hari kian meruncing sifatnya.
Tahun 2006 menyaksikan banyak serangan ke atas aqidah Umat Islam di Malaysia berjaya dikesan dan dihebahkan oleh pihak media. Serangan bertali arus ini bagaikan telah dirancang dengan begitu rapi dan dipelopori pula oleh golongan cerdik pandai di kalangan Orang-Orang Fasiq dan Kuffar. Bermula dengan IFC yang nama asalnya ialah IRC Inter Religious Comission iaitu adalah sebuah suruhanjaya yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama akibat desakan penganut agama lain telah menuntut hak keistimewaan menyaingi hak agama Islam selaku agama rasmi persekutuan, diikuti pula dengan perebutan mayat wira Negara Pendaki Gunung Everest Abdullah Moorty yang dipertikai status keislamannya oleh penganut Hindu serta kes murtad Azlina Jailani atau lebih dikenali dengan nama Kristiannya Lina Joy amat kritikal untuk diperdebatkan di khalayak ramai kerana melibatkan sensitiviti agama.
Secara tidak sedar, semua yang berlaku ini adalah bermotifkan untuk merungkai sedikit demi sedikit keistimewaan Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan dalam masa yang sama menuntut persamaan hak beragama melalui pelbagai desakan oleh Kumpulan Artikel 11. Aqidah Islam di Malaysia juga turut diasak oleh penganut Buddha melalui prinsip “Etika Global” yang telah diperkenalkan oleh Profesor Hans Kung pertama kalinya pada tahun 1989 tetapi mula telah disebar luaskan seawal bulan Februari pada tahun ini melalui Projek Etika Global Pulau Pinang. Projek ini direka khusus bertujuan menanamkan falsafah etika ini kepada penduduk Malaysia Melalui penerapan secara halus kefahaman tentang rukun emas dalam etika global perbezaan beragama tidak timbul dan keamanan sejagat akan terhasil apabila semua orang diseru berpegang dengan konsep rukun emas ini iaitu “layanilah orang lain seperti mana kamu mahu dilayani“. Inilah beberapa pendedahan situasi cemas yang menceritakan betapa pembunuh - pembunuh senyap (silent killer) aqidah umat Islam di Malaysia sedang hebat bergerak menerkam mangsa.
Pengukuhan Aqidah dan Pemantapan Ilmu Adalah Benteng Pertahanan Individu
Ancaman terhadap aqidah umat Islam di Malaysia ini tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa ada pengawalan dan pencegahan dari semua pihak. Penyelesaian boleh dirangka melalui mekanisme pencegahan berbentuk dalaman dan luaran. Pastinya pengukuhan aqidah individu melalui pemantapan ilmu diharapkan akan menjadi benteng kepada semua Muslim di Malaysia. Kuat atau lemahnya aqidah adalah unsur yang berkait rapat dengan dalaman (hati) dan dijelmakan pula melalui pengamalan seluruh anggota fizikal. Aqidah adalah berasal dari kalimah Arab yang bermaksud ikatan atau simpulan yang kukuh. Dari segi istilah Syarak ialah kepercayaan yang tersimpul kukuh dan teguh dalam jiwa sehingga tidak mungkin akan terurai oleh apa jua suasana dan keadaan. Allah SWT menegaskan dalam kalamNya Surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud, “Tidak ada paksaan untuk memasuki Agama Islam. Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut ( ialah Syaitan dan apa sahaja yang disembah selain Allah SWT ) dan beriman kepada Allah , maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Aqidah seseorang Muslim boleh diperkukuhkan melalui penjanaan ilmu yang berterusan dan diikuti pula dengan penambahan kualiti pengibadatan dengan didasari ilmu syariat.

Rahsia Kalimah Syahadah Dalam Mendepani Cabaran
Tuntutan memahami aqidah Islam bukanlah sesuatu yang sukar. Aqidah Islam mudah diterima oleh semua manusia kerana ia bersifat ketuhanan, bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan. Aqidah Islam sentiasa berpaksikan kebenaran dan sentiasa menggalakkan penggunaan akal yang optimum dalam mencari kebenaran Tuhan Yang Maha Esa pemilik sebenar kepada alam ini. Individu bebas mengikrarkan pengakuan sebagai seorang Muslim hanya dengan melafazkan kalimah syahadataini ( dua kalimah syahadah ) la ila ha illah muhammad rasulullah setelah kebenaran kalimah tersebut tersimpul teguh di dalam hati. Kalimah ini ada rahsianya. Pengukuhan kalimah aqidah ini pastinya akan menjadikan seseorang Muslim itu memiliki imuniti dan kekebalan aqidah sejati.
Kalimah Tauhid ini juga bagaikan graviti yang akan menarik dengan kuat individu Muslim dari terus terjebak dalam perangkap penyelewengan aqidah. Dalam kalimah tauhid La Ilah Illa Allah sudah ada unsur Nafi (penolak) dan isbat (pengukuh) yang akan mengawal kepercayaan seseorang Muslim. La Ilaha ialah ucapan nafi (penolak) yang bermakna seseorang Muslim mesti menolak, menafi dan mengatakan tidak ada tuhan yang layak disembah kemudian diiringi dengan isbat(pengukuh) penegasan ucapan illa Allah iaitu kecuali Allah. Pengukuhan aqidah melalui kalimah syahadah mampu menjadi benteng pertahanan aqidah seseorang individu Muslim. Penggabungan semua individu Muslim yang memiliki aqidah yang teguh pastinya menjadi permulaan kepada batu asas yang utuh kepada pembinaan sebuah kubu aqidah yang kukuh dalam konteks sebuah negara melalui penguatkuasaan perundangan yang boleh dimainkan oleh pihak berkuasa.
Ketegasan Rasulullah SAW Ketika Berhadapan Serangan Halus Agama Lain
Suatu ketika pernah sekumpulan Orang Kafir Quraisy datang menemui baginda Rasulullah SAW seraya berkata : “ Hai Muhammad ! Marilah engkau ikut agama kami dan kami pula ikut agama engkau. Kita berkongsi untuk sama-sama memeluk agama kita semuanya, engkau sembah Tuhan kami selama setahun dan kami sembah tuhan engkau pula selama setahun. Sekiranya agama yang engkau bawa itu yang baik kita sudah pun sama-sama berkongsi dalam agama tersebut, kerana kami telah mengambil bahagian kami. Sekiranya agama yang ada pada kami itu yang baik, engkau juga sudah berkongsi sama - sama dengan kami dan engkau telah mengambil bahagian engkau.”
Rasulullah hanya menjawab dengan ucapan “aku berlindung kepada Allah dari menyukutukanNya dengan yang lain”. Pujuk rayu orang-orang kafir tidak terhenti di situ sahaja. Pelawaan demi pelawaan ditawarkan dengan begitu manis kepada baginda. Seruan mereka ialah “ engkau terima sahajalah sebahagian Tuhan kami, nescaya kami akan percaya kepadamu dan kami sembah pula Tuhanmu”. Toleransi yang baginda tunjukkan dalam permasalahan agama ialah ketegasan!. Baginda membacakan Surah Al Kafirun ( surah orang-orang kafir ) ayat 1 hingga ayat 6. “Katakanlah ( Ya Muhammad ) : Hai Orang - Orang Kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”
Perilaku orang-orang kafir terhadap orang-orang Islam adalah sama di setiap zaman dan tamadun. Apa yang menjadi perbezaan ialah cara dan pendekatan. Tuntasnya ialah tindakan kita mestilah selari dengan tindakan Qudwah Hasanah (ikutan terbaik) baginda kerana itu sahajalah tinggalan berharga baginda kepada umatnya. Contoh dan ikutan baginda inilah yang wajib kita jadikan landasan kehidupan dalam mendepani cabaran penyelewengan aqidah.
Sebarkan Cara Hidup Islam Untuk Semua Manusia Tanpa Sempadan Bangsa
Seribu satu cabaran terhadap aqidah Umat Islam di Malaysia hari demi hari juga mungkin kerana kelalaian umat Islam dari terus berdakwah menyebarkan Islam kepada bangsa lain di Malaysia. Tanggungjawab berdakwah yang telah diabaikan ditambah pula dengan paparan mengecewakan sikap orang Melayu Islam telah menambah rasa muak bangsa lain untuk tertarik kepada Islam. Seruan ke arah kebangsaan bukan anjuran Islam tetapi Islam menggalakkan untuk memahami ajarannya serta saranan mencari Tuhan yang Maha Esa pemilik sebenar alam semesta ini. Pengukuhan nilai-nilai beragama dalam kehidupan diri individu Muslim, keluarga Muslim seterusnya kepada masyarakat Muslim wajar diberi penekanan dan dalam masa yang sama dialog penyebaran tentang keadilan Islam mesti diteruskan agar ianya selari dengan gagasan konsep pendekatan Islam Hadhari.
Tidak ada istilah paksaan untuk memeluk agama Islam tetapi yang ada ialah kewajipan melaksanakan perintah Tuhan dan rasulNya serta kewajipan meninggalkan semua larangan Allah dan larangan baginda. Islam adalah rahmat yang diturunkan oleh Allah untuk bangsa manusia sejagat. Islam tidak bersifat perkauman atau kebangsaan secara khusus tetapi Islam adalah milik semua. Seruan Islam adalah kebaikan dan keamanan untuk semua menjangkaui wawasan dunia dan akhirat. Sebarang serangan ke atas Islam memberi makna serangan kepada manusia sejagat dan pencetus huru-hara kepada sebuah kedamaian hidup beragama. Kepada semua pencinta Islam berhati-hatilah dengan pesanan warga emas apabila situasi menjadi cemas.
‘Retak menanti belah’ dan bagai ‘telur di hujung tanduk’ adalah beberapa peribahasa menggambarkan wajah kritikal betapa Aqidah Umat Islam kini berada di jurang kehancuran menjelang wawasan kegemilangan andai mekanisme penyelesaian tidak dilaksanakan.