Thursday, April 12, 2007

‘Sumbangan Harakah Terhadap Perkembangan Politik Tanah Air’

( Cui_al _dikki )

HARAKAH adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia liputan politik tanahair. Pergerakkan Islam di bawah kepimpinan Parti Islam Semalaysia telah menjadikan HARAKAH sebagai lidah rasmi parti tersebut. Media adalah pengantara atau pihak ketiga. Istilah orang tengah menuntut sikap amanah yang tinggi dalam melaksanakan segala pertanggungjawaban menyampaikan maklumat. Sikap HARAKAH yang amanah dalam menyampaikan maklumat semasa mengenai senario politik Malaysia wajar dipuji oleh Kerajaan Malaysia. Kalau bukan dengan sikap amanah ini, wajarkah akhbar ini berjaya merangkul tempat pertama dari segi penggemar akhbar alternatif. Biarpun kerajaan membenci namun rakyat tetap teguh, kukuh dan utuh berdiri mendukung HARAKAH sebagai wadah membangun bersama Islam sejak dahulu, kini dan selamanya sehinggalah usianya kini telah pun melewati 20 tahun penubuhannya.
Sekalung tahniah kepada HARAKAH diucapkan. Sesuai dengan namanya, HARAKAH iaitu pergerakkan, seluruh jentera media ini telah digerakkan dengan bekalan kuasa amanah untuk mendukung prinsip politik Islam. Demi kelangsungan dakwah kepada masyarakat Malaysia dalam memahamkan mereka tentang prinsip politik Islam, HARAKAH terus - menerus menyumbangkan peranan dalam menyuburkan perkembangan politik tanahair walaupun telah dilemparkan dengan pelbagai mehnah tribulasi dari awal penubuhannya sehinggalah kini.
HARAKAH telah bertindak menyumbangkan maklumat alternatif kepada rakyat Malaysia agar pertumbuhan politik tanahair mekar dan subur dengan dalam acuan Islam. Liputan dari pihak HARAKAH merupakan neraca timbangan dalam mempertimbangkan berita dari media milik kerajaan. Proses pengimbangan dari kedua belah pihak ini akan merealisasikan makna demokrasi. Maklumat yang seimbang menjamin ketepatan liputan yang disampaikan oleh kedua - belah pihak. Kewujudan HARAKAH amat penting kerana media perdana milik kerajaan telah pun disalahgunakan oleh kerajaan yang memerintah bukan untuk menerangkan dasar kerajaan kepada rakyat tetapi diperkudakan untuk menghentam parti pembangkang terutamanya PAS dalam masa yang sama menyebar luas liputan semasa tentang UMNO. Tuntasnya HARAKAH menjadi tulang belakang kepada perjuangan Islam. HARAKAH telah berjaya menimbulkan rasa ‘berhati-hati’ kepada media milik kerajaan dalam usaha mereka membelasah PAS dalam arus perdana. Melalui jawapan yang dimuatkan di dalam HARAKAH segala fitnah dapat disingkap, semua pembohongan parti kerajaan dapat dibongkar dan cahaya kebenaran dapat dilihat dengan mudah untuk memadamkan penipuan pihak yang dengki kepada perjuangan Islam. Apa yang paling penting ialah kekeliruan antara kebenaran dengan kebatilan dapat dibezakan dengan mudah. Setiap rakyat dengan minda kelas pertama pasti dapat menilai semua maklumat yang sampai kepada mereka lalu dapat membuat perhitungan yang tepat dengan neraca kebenaran.
Sumbangan HARAKAH dalam bidang politik tanahair yang tidak dapat dinafikan oleh semua ialah berjaya membentuk pemikiran rakyat yang progresif dan kritis yang dapat menjana daya saing rakyat untuk menjayakan wawasan negara. Pemikiran kritis amat penting dalam usaha membina rakyat yang berjiwa merdeka. Merdeka dari sebarang kepalsuan, fitnah dan pembohongan berita seterusnya berjaya menilai semua berita dengan neraca keadilan. Apabila rakyat berfikir secara kritis semua berita yang sampai tidak diterima secara bulat-bulat tetapi ditapis dengan berkiblatkan kebenaran sesuatu fakta. Secara tidak langsung lidah rasmi PAS ini telah memberi sumbangan yang amat besar dalam menyediakan masyarakat progresif yang dapat menjayakan wawasan 2020. Tanpa pemikiran ini, negara akan ketandusan idea dalam membina negara maju. Pastinya politik negara tidak akan berkembang kerana tidak ada sebarang idea baru untuk menambah baik keadaan. Pendedahan HARAKAH adalah bersifat berani secara anak jantan iaitu berdepan dengan apa jua cabaran asalkan ianya berpaksikan kebenaran fakta. Andainya ada paparan HARAKAH yang bersifat ‘fitnah’ seperti mana yang digambarkan oleh sesetengah pihak tetapi yang peliknya kita tidak melihat pula akhbar ini disaman dan diharamkan di peringkat nasional. Bahkan ia tetap gah sebagai ‘pemuda’ berusia 20 tahun memacu media negara menuju ketamadunan. Negara yang bertamadun amat menyanjung keunggulan pemikiran dalam menghasilkan idea-idea baru kepada pembangunan negara. Inilah usaha dan sumbangan ‘suara kebenaran’ ini kepada ibu pertiwi yang lahir dari akhbar ini tetapi disalah ertikan oleh pihak yang tidak dapat berfikir secara kritis tetapi lebih rela berfikir secara statik yang kesannya hanyalah ‘pak turut mak ikut’.
HARAKAH juga bertindak menjadi jambatan kebajikan dalam corak politik Islam. Ia bukan sekadar akhbar untuk ahli PAS sahaja tetapi peranan dan sumbangannya adalah jauh lebih besar. Ia adalah jambatan yang menghubungkan orang menderita kemiskinan untuk mengharap bantuan dari rakyat jelata bukan lagi melalui kepimpinan negara yang semakin tidak boleh diharap dalam menguruskan sumbangan rakyat. Inilah medan rakyat yang berada menabur bakti menghulur budi demi meringankan beban penderitaan rakyat yang kurang bernasib baik. Slogan keramat HARAKAH ‘payah dan derita menggamit kehidupan, ihsan dan simpati jadi harapan’ menjadi taruhan dalam meraih kepercayaan seluruh rakyat tanpa sempadan politik dan bangsa untuk terus-menerus menghulurkan sumbangan kepada Tabung Kemiskinan HARAKAH (TKH). Inilah bukti kukuh PAS adalah badan kebajikan bukan sekadar parti politik sahaja namun terasnya ialah politik Islam yang tetap didokong kejap. Islam mengajar pemimpim politik bahawa setiap kemiskinan tetap diperangi walau siapa pun pemilik kemiskinan itu. Politik Islam pimpinan PAS menganjurkan kita berbakti menabur kebajikan walaupun tidak digelar pemerintah negara. HARAKAH pantas bergerak menjadi tunggak pembasmi kemiskinan demi menyahut seruan negara namun ada yang masih alpa dan mendakwa HARAKAH adalah akhbar penyebar fitnah. Melalui jambatan kasih ini pembaca dapat berhubung dengan masyarakat luar untuk menjana lautan harta milik rakyat awam melalui sumbangan orang ramai yang boleh dihulurkan. Sumbangan orang ramai tidak diselewengkan tetapi dihujani pula kepada si pemilik derita kemiskinan yang berpanjangan walaupun pemimpin negara berbangga dengan pencapaian ekonomi negara di ambang kemajuan menjelang 2020.
Apabila berbicara soal penyelewengan pimpinan negara maka jagoannya adalah HARAKAH. Inilah sumbangan besar HARAKAH kepada nilai integriti yang diperjuangkan oleh pihak kepimpinan negara. ‘Berani kerana benar, takut kerana salah’ adalah ungkapan yang paling tepat dalam menggambarkan keberanian HARAKAH melaporkan permasalahan pemimpin. Mengimbau kembali perkembangan politik Islam di zaman perintahan Umar Al-Khattab suatu masa dahulu, kini HARAKAH telah berjaya melahirkan semula satu atmosfera transparent atau ‘telus’ dalam pemerintahan negara. Umar Al - Khattab mengambil tindakan yang telus untuk memuji bukannya membenci apabila baginda ditegur oleh seorang wanita kerana menegah kaum wanita daripada meninggikan mahar perkahwinan. Walaupun teguran ini secara terbuka dan lahir pula dari seorang wanita tetapi kemaafan jua yang Saidina Umar pinta. Baginda lantas menarik balik larangan tersebut. Malangnya, pemerintah negara di bawah pendekatan Islam Hadhari bukannya bertindak membetulkan kesilapan hasil teguran media HARAKAH tetapi mengheret HARAKAH ke kandang pesalah. Liputan penyelewengan pemimpin melalui HARAKAH yang tidak henti-henti pastinya menjadi satu igauan ngeri bagi pemimpin yang ada cita-cita untuk menipu rakyat. Manakala bagi rakyat pula, akhbar ini akan menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu setiap dua kali sebulan. Sebagai contoh isu pemecatan Mantan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pendedahan isu jenayah berprofil tinggi seperti pembunuhan Altantuya Sharibu, Kenaikan harga minyak dan tol serta rasuah politik dalaman UMNO adalah berita-berita hangat yang ditunggu setiap minggu. Keberkesanan laporan penyelewengan ini jelas terpancar apabila akhirnya suara HARAKAH disekat kepada dua kali sebulan walaupun secara asal penubuhannya adalah dua kali seminggu.
Suara HARAKAH adalah suara keramat. Suara yang lahir daripadanya menjangkaui dunia tanpa sempadan. Ruangan Nasional, English Section, Fikrah, Ilmu Agama dan Antarabangsa akan tetap bergema sahut menyahut demi memelihara politik tanahair agar sentiasa segar dengan cahaya Islam melalui perjuangan politik Islam. HARAKAH akan terus kekal menjadi jaguh pendesak pemerintah agar menghormati pendapat rakyat kebanyakkan. Tampilnya jua adalah untuk membela kesucian hidup beragama dan melindungi kaum Hawa dari terus didiskriminasi media sekular sebagai simbol seks dan agen peransang nafsu serakah.
HARAKAH telah berjaya membawa dimensi baru dalam industri media tanahair. Media bukan sekadar medium dalam menyalurkan maklumat tetapi HARAKAH telah memberikan contoh ikutan terbaik kepada pengamal media yang lain. Kehadirannya telah merentas dan mempelopori satu prinsip perjuangan pengamal media iaitu melahirkan media yang berperanan sebagai pendidik masyarakat bukan sebagai alat bantu kepada kerajaan dalam merosakkan masyarakat dengan hiburan melampau. Apa yang penting ialah media wajib memiliki prinsip. Manakala prinsip HARAKAH dulu, kini dan selamanya adalah mudah dan lestari sifatnya iaitu ‘Membangun Bersama Islam’.
Ironinya HARAKAH bukan sekadar mencanang gendang raya dengan tari sumbang tetapi HARAKAH mengotakan apa yang dikata. HARAKAH mendidik masyarakat pembaca melalui ruangan keagamaan. Prinsip HARAKAH ini wajib dicontohi oleh media yang lain dalam usaha menjernihkan semula suasana politik tanahair yang jauh menyimpang dari cahaya Islam. Pemerintah hanya menjadikan Islam sebagai produk jualan dengan kepelbagaian label yang menarik semata-mata ingin memancing undi dan bukannya Islam sebagai cara hidup yang dihayati.
‘Teguh kerbau kepada tali teguh manusia kerana janji’. Janji untuk membangun bersama Islam telah dipamerkan oleh HARAKAH dengan cemerlang, gemilang dan terbilang melalui prinsip-prinsip politik Islam yang diamalkan. HARAKAH telah lebih 20 tahun mendedahkan segala kemungkaran yang sememangnya disembunyikan oleh pihak kerajaan Malaysia. Bermula dari pertumbuhan kilang arak dan kelab judi yang subur sehinggalah kepada pendedahan berani perlakuan maksiat di malam - malam pesta sambutan ulang tahun baru serta di malam konsert hiburan berlangsung. HARAKAH jua tampil menggotakan janji membangun bersama Islam dengan menyeru kepada yang makruf melalui program - program ceramah agama dan program pengibadatan yang telah dilakukan.
Apa guna berjanji kalau kehendak asalnya adalah untuk dimungkiri. Islam Hadhari menjadi slogan yang dilaung tetapi perlaksanaannya jauh amat canggung. Artis dibela dan dimanja tapi malang ulama’ di caci dan dihina. Ibadah yang baik digelar bid’ah tetapi kekejian hasil perlakuan mungkar didiamkan seribu bahasa tanpa komen atau alasan. Inilah kosmetik Islam Hadhari tajaan media milik kerajaan sejak penubuhan pendekatan Islam Hadhari pada awal tahun 2000.
Lembaran baru wajah politik tanah air Malaysia menjelang wawasan 2057 yang telah disasarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi wajar dicorakkan oleh media dengan lakaran indah sarat dengan penghayatan cara hidup Islam sejati. Cabaran tetap jua datang walau sehebat mana ianya ditentang. HARAKAH sebagai media pendidik adalah ikutan kepada semua media. Sikap HARAKAH wajar dijadikan contoh dan teladan. Cabaran ibarat badai tak bertepi dan tak berhenti mesti ditangani dengan positif. Tanggapan yang baik kepada Allah adalah sumber kekuatan HARAKAH. Malam itu tidak akan selama-lamanya gelap kerana cahaya mentari akan pasti jua muncul di esok hari. Itulah hakikat kebenaran umpama siang yang bercahaya. Ianya akan hadir jua biarpun terlalu lama gelapnya malam. Tunggak HARAKAH adalah satu iaitu keredhoaan Allah. Sesiapa yang mengajak kepada kebaikan maka baginya pahala amalannya dan pahala pelaku yang meniru amalannya dan berterusan pahalanya sehingga hari kiamat dan barang sesiapa yang melakukan perilaku jahat maka baginya dosa perbuatannya dan dosa orang yang meniru perlakuan jahatnya maka berkekalanlah dosa itu sehinggalah hari kiamat.

No comments: