Monday, August 07, 2006

Menjana Personaliti Muslim Sejati

Oleh : Cui-al-dikki

Setiap ajaran ada pengasasnya tetapi tidak pada Islam. Islam bukan ajaran yang diasaskan oleh baginda Rasulullah SAW ketika berkhulwah ( bersendirian ) di Gua Hira’ sepertimana dakwaan orientalis tetapi Islam adalah agama iaitu cara hidup yang diredhai di sisi Allah. Buktinya ialah Surah Ali Imran ayat 19 : “ Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam ” manakala bukti keredhaan Allah pada cara hidup Islam pula ialah Surah Al Maidah ayat 3: “Dan aku ( Allah ) telah meredhoi Islam kepada kamu sebagai satu cara hidup”.

Rasulullah SAW adalah rasul ( utusan ) tuhan yang menyampaikan kepada umat segala perihal kehidupan. Bermula dari sekecil perkara seperti thaharah ( bersuci ) hinggalah sebesar-besar perkara seperti hukum-hakam pemerintahan sesebuah negara. Baginda hanyalah menyampaikan apa yang diperintahkan. Baginda juga adalah role mode sepanjang zaman. Penampilan imej yang baginda tonjolkan adalah gambaran lengkap seorang personaliti muslim yang sejati. Itulah sumber ikutan dan inspirasi kita selaku penganut agama Islam.

'Di mana bumi dipijak di situ Islam dijunjung'. Inilah perumpamaan yang tepat bagi seorang mukmin sejati yang telah bersumpah di hadapan Allah setiap kali mendirikan solat membuat pengakuan untuk menjadikan solat, ibadah, hidup dan matinya adalah untuk Tuhan Pencipta A’lam. Mukmin yang setia dengan janjinya kepada Allah dan setia bahawa Muhammad itu adalah ikutannya. Pegangannya tidak berubah malah tetap menuruti hukum Allah dan petunjuk rasulNya walau apa jua yang menimpa.

Barangkali inilah yang cuba digambarkan oleh 3 orang anak muda mukmin yang tegas, tetap dan tidak berganjak dari prinsip berpakaian seorang muslim iaitu pemakaian serban walaupun mereka dikenakan hukuman buang sekolah. Mungkin jua inilah yang cuba dijelaskan oleh seorang guru yang telah bertindak menggunting sedikit tudung pendek pelajarnya yang tidak mematuhi arahan bertudung labuh di sekolah walaupun guru tersebut terpaksa berhadapan dengan hukuman ditukarkan ke sekolah yang lain. Persoalannya hanyalah satu tiada duanya, kenapakah pengamalan Islam tidak ditekankan dengan kukuh malah Islam tidak dibiarkan bebas diamalkan di Negara Islam Malaysia yang berteraskan Islam Hadhari ini?.

Sudah pasti persoalan ini akan menjadi bertambah misteri apabila ajaran musuh Allah pula dibiarkan berkuasa sedangkan remaja Muslim dibiar sengsara akhlak dan sosial mereka. Sikh bebas berserban ala ajaran mereka. Budaya Kuning anjuran Yahudi dan Nasrani seperti Punk dan Hippies yang tidak bertuhan pula bebas meragut budi bahasa milik budaya orang-orang timur. Pemakaian ketat yang menampakkan susuk tubuh dengan baju Body-fit tidak dikenakan tindakan. Budaya Season dan Dirty yang menonjolkan imej kotor dan lusuh berlambak di setiap pasaraya langsung tidak dikenakan sebarang penguatkuasaan. Bukankah semua ini adalah racun yang akan merosakkan penjanaan seorang personaliti muslim seterusnya meranapkan gagasan negara melahirkan modal insan berkualiti.

Islam tidak membiarkan umatnya hilang pedoman dalam mencari etika berpakaian. Rasulullah SAW adalah model personaliti muslim yang sejati manakala Ummahatul Mukminin (ibu bagi orang-orang mukmin) seperti Saidatina A’isyah pula adalah cermin penyuluh diri bagi muslimah. Gaya ketrampilan diri akan kelihatan lebih menarik jika sunnah ini dijadikan pegangan. Rasullullah SAW telah menggariskan panduan – panduan asas berpakaian dalam menjana personaliti seseorang muslim. Antaranya ialah pakaian mestilah yang menutup aurat iaitu (bahagian tubuh yang wajib dilindungi dari pandangan ajnabi) bukannya menutup kulit atau ketat, pakaian mestilah tidak menyerupai agama lain seperti bow, pakaian topi Yahudi, pakaian sami Budhha, pakaian paderi Kristian atau pakaian Sister Kristian, pakaian mestilah dari sumber yang halal dan suci pada pandangan syarak bukan dari sutera asli atau emas bagi lelaki dan janganlah keterlaluan berpakaian sehinggakan menjerumuskan pemakainya ke lembah pembaziran dan mendedahkan tubuh kepada kebinasaan dek kerana mengikut tunjuk ajar Syaitan.

Selain itu sebagai tanda kasih baginda kepada ummatnya Baginda turut menggalakkan umatnya mengamalkan nilai-nilai tambah dalam menonjolkan lagi personaliti seorang muslim. Bertutup kepala (kopiah), berserban, bercincin di jari kelingking, berwangi-wangian serta mengutamakan pakaian putih kerana ia adalah warna suci fitrah insani dan memakai warna hijau kerana ia adalah warna syiar agama Islam dan warna pakaian ahli Syurga seterusnya ialah menyimpan janggut serta menipiskan misai.

Sesungguhnya manusia amat suka berbangga dengan apa yang dipakainya dan akan sentiasa menuruti segala jenis pemakaian sesiapa yang dicintainya. Itulah realiti sebuah percintaan. Pasangan yang asyik bercinta akan sentiasa taat mengikuti kehendak pasangannya. Mukmin yang mencintai rasulnya akan menuruti segala sunnah baginda sehinggalah dalam etika berpakaian. Sudah tentulah hasil daripada mencintai rasul ialah bersama baginda di tempat istimewa di Syurga sana. Seseorang itu akan bersama dengan sesiapa yang dicintainya pada hari akhirat – maksud hadis. Cara berpakaian juga akan melambangkan ketaatan seseorang kepada agamanya. Bahkan seruan Islam dalam berpakaian adalah terlalu jauh. Bukan sahaja untuk menampilkan ketrampilan diri agar lebih anggun bahkan diganjari pahala kerana menjulang ketaatan tuhan. Bukankah dengan berpakaian kita akan lebih mudah dikenali sebagai seorang muslim sejati.

Penjanaan personaliti muslim sejati hanya akan dapat direalisasikan apabila sunnah baginda Rasulullah SAW dilaksanakan secara total tanpa ada diskriminasi. Integrasi antara gaya penampilan diri mengikut sunnah baginda dan akhlak mulia pastinya akan membuahkan masyarakat yang kaya dengan budi bahasa seperti mana yang diharapakan semua. Hayatilah pujian Allah kepada kekasihnya dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah".

Thursday, August 03, 2006

Khutbah 4 ogos

Dedikasi buat umat Islam Palestin dan Lubnan.

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah Sekalian,
Mimbar Jumaat tidak akan sekali-kali berasa jemu untuk menyeru kita semua, marilah kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNnya. Sesungguhnya ketaqwaan kepada Allah dan kesatuan Umat Islam Adalah benteng kekuatan kita dalam menghadapi cabaran kuffar pada hari ini. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 101-102.
Image Hosted by ImageShack.us

Maksudnya :
“ Bagaimanakah kamu sampai menjadi kafir padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu dan rasulNya pun berada di tengah-tengah kamu ? Barangsiapa yang berpegang teguh kepada agama Allah maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk ke jalan yang lurus. “ Wahai orang-orang beriman bertaqwalah kepada Allah dengan benar-benar taqwa kepadaNya dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam “.

Sidang Muslimin Yang Berbahagia Sekalian,
Hari demi hari menyaksikan musuh-musuh Islam semakin hari semakin biadap terhadap umat Islam. Hal ini jelas terbukti dengan apa yang telah berlaku di dalam negara Malaysia khususnya, mahupun di dunia Islam umumnya. Mereka sudah berani mempertikai perkara 121 (1A) yang telah menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dipertikai oleh badan perundangan yang lain seperti dalam perbicaraan Kes Muhammad Abdullah @ Moorthy yang telah diputuskan sebagai seorang Muslim. Usaha mereka diteruskan lagi dengan memberikan sokongan padu kepada Azlina Jailani atau Lina Joy untuk membuang perkataan Islam di dalam kad pengenalan seterusnya murtad dari Islam. Isu penubuhan IFC (Interfaith Commission) dan Global Ethic adalah beberapa rangkaian pakatan kempen di peringkat antarabangsa yang bertujuan antara lain adalah untuk memberikan kebebasan umat Islam di Malaysia menukar agama atau murtad dari Islam.

Sidang Muslimin Se Aqidah Sekalian,
Adakah kita masih tidak sedar bahawa musuh-musuh Islam tidak akan sekali-kali berehat atau tidur dari terus merancang untuk melenyapkan cahaya Islam. Usaha golongan kuffar ini hanya akan berhenti dan puas apabila umat Islam murtad dari agama mereka atau pun memadai dengan Umat Islam mengikut jejak langkah mereka dari segi pemikiran, ideology dan tindakan.

Benarlah firman Allah SWT dalam Surah Al – Baqarah ayat 120 :


Image Hosted by ImageShack.us

Maksudnya :
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redho (bersetuju) kepadamu (wahai Muhammad), sehinggalah engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) : "Sesungguhnya petunjuk Allah iaitu (agama Islam) itulah yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, sesudah datangnya wahyu yang telah memberi pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka Allah tidak akan lagi mengawal dan memberi pertolongan kepada kamu.

Sidang Muslimin Sekalian,
Apakah kita sudah lupa dengan penghinaan mereka ke atas Baginda Rasulullah SAW beberapa bulan yang lalu. Mereka melukis karikatur yang menggambarkan rasul kita adalah seorang pengganas dan menganjurkan keganasan. Kekejaman dan Keganasan adalah tabiat dan perangai Bangsa Israel yang telah menghancurkan selatan Lubnan. Mereka telah membunuh hampir 500 nyawa kaum wanita dan kanak-kanak dalam tempoh 3 minggu serangan udara. Kini, mereka merempuh sempadan melalui serangan darat pula. Tujuan mereka hanyalah satu iaitu “melenyapkan Islam”. Kita hanya tengok dan dengar dengan penuh simpati tanpa boleh berbuat apa-apa. Kita amat berbeza dengan Umat Islam di akhir pemerintahan Kerajaan Abbasiyyah pimpinan Khalifah Al – Muktasim. Apabila seorang perempuan telah tergelincir jatuh lalu tersingkap auratnya. Perempuan itu telah disorak oleh orang-orang bukan Islam kerana penutup auratnya terbuka.

Tiba-tiba perempuan itu merayu : “Wahai khalifah Muktasim, selamatkan daku.” Seorang lelaki Muslim yang berada di tempat itu terus musafir ke Baghdad untuk menghadap khalifah dan mengadu hal itu. Khalifah Muktasim lantas terus bangun berdiri dan terus menjawab: “Wahai ibu, Ini Khalifah Muktasim mendengar seruanmu. Lalu baginda mengerahkan bala tenteranya untuk menyerang penghina-penghina yang telah menghina seorang Islam. Pada hari ini, kita hanya boleh tengok dan dengar walaupun yang dihina itu bukan seorang perempuan tetapi Baginda rasul junjungan, kekasih tuhan.

Sidang Muslimin Sekalian,
Hari ini kita berdepan dengan satu keadaan yang begitu menghinakan Umat Islam. Umat Islam di Afganistan terus diserang tentera bersekutu, pimpinan Amerika dan Britain. Pemimpin mereka adalah boneka ciptaan Amerika. Umat Islam di Iran pula diserang dari segi politiknya kerana memiliki teknologi pengkayaan uranium. Umat Islam di Iraq terus bergolak sesama sendiri selepas negara itu ditawan Amerika dan sekutu-sekutunya. Umat Islam di Palestin yang dulunya bertempur dengan Israel kini berhadapan pula dengan sekatan ekonomi yang dahsyat sehingga diancam kebuluran dan kelaparan, dan mangsa terbaru kekejaman kafir ialah saudara kita Umat Islam di Lubanon yang hingga ke saat ini terus menerus dibedil peluru berpandu milik Israel Laknatullahi Alaihim tetapi apa yang amat menyedihkan ialah Umat Islam Di Malaysia hanya lebih mencintai hiburan yang melampau-lampau tanpa menyedari kita sedang menuju kehancuran akhlak kerana berkiblatkan budaya hedonisme iaitu budaya hiburan yang melampau-lampau anjuran Yahudi.
Benarlah sabda Baginda Rasulullah SAW :

Maksudnya :
Kamu umat Islam akan dikelilingi oleh musuh-musuh kamu, sebagaimana orang-orang mengelilingi hidangan makanan. Mereka mengambil, mencabut dan meratah makanan itu. Begitulah keadaan kamu di akhir zaman. Musuh Islam akan menjadikan kamu seperti makanan. Lalu para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW. Adakah jumlah kami pada ketika itu sedikit ? Jawab Rasulullah SAW : Tidak, kamu pada masa itu ramai tetapi seperti buih-buih air banjir. Allah menghilangkan rasa gerun dan hebat kamu di mata musuh-musuh, Allah mencampakkan dalam hati kamu penyakit “al – wahan”. Seorang sahabat bertanya Apakah Al-Wahan itu wahai Rasulullah SAW ? Rasullullah SAW menjawab. Iaitu cintakan dunia dan takutkan mati.

Sidang Muslimin Yang diberkati Sekalian,
Mimbar pada hari ini ingin menyeru kepada semua mukminin, janganlah kita hanya menjadi penonton kepada episode sedih pembataian umat islam ini sahaja, tetapi marilah kita menjadi penolong-penolong kepada agama Allah. Banyak usaha yang boleh kita lakukan untuk membuktikan kecintaan kepada Islam. Bacaan Qunut Nazilah dan Bacaan Doa yang khusus untuk pejuang-pejuang agama mestilah dijadikan wirid khusus seharian kita. Salurkan bantuan derma kepada badan-badan yang diyakini sumbangan itu sampai kepada saudara kita. Kita juga mestilah memboikot barangan-barangan keluaran Yahudi dan musuh Islam. Seterusnya marilah kita mempertingkatkan kekuatan keimanan bahawa masa depan adalah untuk Islam, sesungguhnya saat kehancuran musuh Islam akan sampai dan pertolongan Allah itu terlalu dekat bagi hamba-hambaNya yang bertaqwa. Sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya :
Tidak akan berlakunya Qiamat sehinggalah saling berbunuh-bunuhan antara Yahudi Dan Orang Islam, sehinggalah Orang Islam akan membunh Orang Yahudi dan Orang Yahudi akan lari menyembunyikan diri di belakang pokok-pokok dan batu, lalu berkatalah pokok-pokok dan batu-batu, Wahai Muslim Wahai Hamba Allah! Yahudi berada di belakangku, datanglah dan bunuhlah dia.

Wednesday, August 02, 2006

KECEMERLANGAN

Tajuk: KECEMERLANGAN YANG LESTARI (Sustainable Excellence)
Kecemerlangan dalam kehidupan adalah impian semua orang terutamanya para mahasiswa dan mahasiswi sebuah universiti. Namun sebelum nikmat kecemerlangan dapat dikecap terlalu banyak onak dan duri yang mesti ditempuhi. Cabaran kepada sesuatu kecemerlangan acap kali akan hadir bertalu-talu tanpa jemu ibarat gelombang samudera gagah yang membelah bahtera dalam pelayaran menuju cita-cita. Hanya yang gigih berusaha, diiringi pula tautan doa pengharapan kepada Yang Maha Esa saja yang akan berjaya menggenggam segulung ijazah dengan natijah penuh kegemilangan.

Perjalanan Israk Mikraj Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW telah mengajar kita erti sebuah kecemerlangan dalam konteks kehidupan seorang pelajar. Kepelbagaian episod suka duka baginda dalam perjalanan ini janganlah dibiarkan berlalu tanpa penghayatan. Bermula dengan peristiwa belahan hati dan penyuciannya dengan Air Zam-Zam adalah simbolik kepada peri pentingnya persiapan diri dalam menuntut ilmu. Perjalanan baginda diteruskan sehinggalah baginda dihalangi dengan pelbagai ujian kehidupan dalam menempa kejayaan menuju tuhan. Baginda telah diganggu oleh seorang wanita tua berbongkok tiga dan hodoh rupanya. Segala rayuannya diketepikan tanpa sebarang kompromi. Baginda turut dikejar Ifrit yang ingin melihat baginda gagal dan tersasar dari terus sampai kepada matlamat. Begitulah keadaannya kehidupan warga penuntut. Mahasiswa/wi semestinya akan berhadapan dengan dugaan dunia yang terlalu banyak. Hedonisme, Sekularisme, Liberalisme, dan Materialisme adalah antara perangkap samar yang sekali-kali tidak akan melupakan mangsanya. Musuh kita yang nyata pastinya tidak akan duduk saja membuang masa. Janganlah menyalahkan musuh kita yang nyata andai diri tidak cemerlang.
Renunglah Maksud Firman Allah dalam Surah Ibrahim Ayat 22:
Dan berkatalah Syaitan tatkala perkara ( hisab ) telah diselesaikan :’Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan sekadar aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih.

Sebagai penuntut ilmu mahasiswa/wi mestilah peka dengan semua faktor pendorong dan penggalak kepada sesebuah kejayaan. Pastikan kejayaan menjadi milik kita selaku pelajar muslim. Jadikanlah kejayaan kita itu bersifat lestari (sustainable) bukan sahaja melepasi jangkauan globalisasi di dunia ini tetapi kesinambungan kejayaan tersebut hingga ke kehidupan akhirat. Solat merupakan faktor utama penentu kejayaan seorang pelajar muslim. Renunglah bagaimana hebatnya perintah solat itu hinggakan Baginda sendiri yang pergi menghadapNya. Itulah matlamat terakhir dalam peristiwa Malam Israk Mikraj.

Baginda memulakan perjalanan agung itu dengan penyucian dan pengakhirannya adalah bertemu dan berdialog dengan Tuhan Sang Pencipta Pemilik Alam Semesta tanpa sebarang hijab mahupun pengantara. SOLAT, itulah satu-satunya perintah dari Yang Maha Esa sebagai pengantara hubungan antara hamba dengan tuhannya. Kecemerlangan yang lestari ( Sustainable Excellence ) milik seorang pelajar adalah bermula dengan solat yang terbilang. Renungilah Ayat 1 hingga 11 Surah Al-Mukminun :

Sesungguhnya telah cemerlanglah (beruntunglah) arang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang Khusyuk’ dalam solatnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan & percatan) yang tiada berguna. Dan Orang-orang yang menunaikan zakat. Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka mereka tiada tercela. Barangsiapa mencari yang lain dari itu, mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya. Dan orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal (lestari) di dalamnya.

Kecemerlangan yang lestari dan hakiki adalah kehidupan di dalam syurga Allah yang disediakan untuk orang-orang yang telah menang dalam kehidupan di dunia yang sementara ini.