Sunday, November 19, 2006

Hikmah Di Sebalik Ibadah Haji

Semua manusia adalah sama di sisi Allah. Perbezaan insan pada pandangan Allah adalah diukur dari segi darjat keimanan dan ketaqwaaan kepadaNya bukan dinilai pada kelebihan pangkat atau kuantiti harta yang dimiliki oleh seseorang.
Namun neraca penilaian manusia jauh berbeza. Malangnya status harta, pangkat, wanita, anak pinak dan kedudukan yang merupakan pinjaman hidup yang sementara ini telah ditukar statusnya oleh manusia menjadi pertaruhan untuk mewujudkan perbezaan sesama manusia. Pinjaman dari Allah semasa hidup di dunia pastinya adalah amanah yang akan dipersoal kelak pada hari kebangkitan. Setiap amanah menuntut pertanggungjawaban dari pemegang amanah bukannya kebanggaan yang akan dipamerkan kepada orang lain. Apabila semua pinjaman yang kita miliki itu hilang ditarik balik oleh Allah maka ketika itu akan muncul kembali persamaan di antara semua manusia tanpa ada perbezaan kecuali bekalan amalan yang dibawa menghadapNya.
Ibadah haji mengukuhkan lagi erti persamaan manusia pada pandangan Allah. Jemaah haji lelaki dimestikan memakai 2 helai kain ihram yang berwarna putih. Sehelai untuk menutup aurat dan sehelai lagi adalah untuk Ittiba’ ( istilah yang digunakan untuk menutup bahagian tangan kiri sehingga di bawah ketiak dan sengaja menampakkan bahagian tangan kanan sehingga ketiak ). Manakala bagi wanita pula diwajibkan menutup aurat dan disunatkan berwarna putih serta diharamkan menutup muka dan kedua tapak tangan.Inilah pakaian rasmi jemaah haji yang mengajar erti persamaan sesama muslim tidak kira samada lelaki mahupun perempuan, kaya atau miskin, berjawatan besar atau pekerja biasa dan pemimpin atau pun rakyat biasa. Hakikat persamaan manusia ini tidak ubah seperti gigi sikat yang kedudukannya adalah sama rata tiada yang lebih tinggi dan tiada pula yang rendah di antara satu dengan yang lain. Bezanya cuma taqwa kepada Allah yang menjadi penentu kedudukan di sisi Allah di akhirat nanti. Firman Allah SWT:

Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan ( dan beramah mesra antara satu dengan yang lain ). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, ( bukan yang lebih keturunan atau bangsanya ). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuannya ( akan keadaan dan amalan kamu ). Surah Al-Hujurat Ayat 13

Ibadah haji dalam syariat Islam juga telah mengajar umat manusia bahawa manusia itu berasal dari umat yang satu. Allah ciptakan Adam sebagai bapa manusia dan daripadanya diciptakan Hawa. Lalu daripada mereka berdua Allah keluarkan umat yang ramai. Allah tempatkan mereka di dalam syurga sebagai satu ujian. Runtunan hawa nafsu dan serangan musuh yang nyata dari jenis iblis telah menyebabkan mereka terkeluar dari Syurga menuju ke dunia secara berasingan membawa haluan hidup masing-masing. Taqdir tuhan adalah satu ketetapan yang pasti berlaku. Pertemuan Adam dan Hawa di dunia selepas mereka berpisah adalah di Padang Arafah. Wuquf di Padang Arafah merupakan rukun kedua haji yang tidak dapat tidak mesti dilaksanakan agar haji dikira sah. Perkumpulan jemaah haji di Arafah bermula dari tempoh gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehinggalah tenggelam matahari. Kegagalan untuk hadir dalam waktu ini akan menyebabkan ibadah haji tidak sah. Baginda selalu mengingatkan umatnya yang mengerjakan haji bahawa haji itu adalah perhimpunan di Padang Arafah.

Padang Arafah pastinya saban tahun akan setia menjadi saksi bisu yang menyaksikan perhimpunan terbesar umat Islam. Perhimpunan seumpama ini sedikit sebanyak mampu menginsafkan semua jemaah tentang betapa gambaran padang mahsyar pada hari kebangkitan nanti adalah suatu peristiwa yang amat menggemparkan dan amat mencemaskan. Seandainya perhimpunan raksasa 6 juta umat Islam di sana pun sudah menggamit suasana cemas bagaimana pula di mahsyar nanti kerana perhimpunan pada hari itu adalah kebangkitan ruh seluruh umat manusia dari manusia pertama iaitu Nabi Allah Adam hinggalah orang terakhir yang dimatikan Allah sebelum Hari Kiamat berlaku. Rasulullah menceritakan dalam banyak hadis pada hari mahsyar nanti tiada lagi berguna kuasa pemerintahan di atas dunia, harta yang melimpah ruah mahupun anak pinak yang ramai. Setiap ruh akan dipersoal tentang segala-galanya. Antaranya 4 perkara yang menjadi pokok kehidupan iaitu tentang umurnya ke mana di habiskan, tentang masa mudanya ke mana dicurahkan, tentang harta dari mana diperolehinya dan ke mana pula dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah diperbuat dengan ilmu tersebut. Laporan kegiatan kehidupan akan dibentangkan secara lengkap dan terperinci di hadapan mahkamah Allah SWT. Mahkamah yang tidak ada sebarang kezaliman dan penindasan padanya. Ketika itu benarlah ayat Al-Quran yang tidak pernah jemu-jemu berpesan :

Maksudnya: Dan ‘kitab - kitab amal’ juga tetap akan dibentangkan, maka Engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: "Aduhai celakanya kami, mengapa Kitab ini demikian keadaannya? ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia ( tertulis di dalamnya ) dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun. Al-Kahfi Ayat 49

Haji adalah umpama berjihad di jalan Allah. Pensyariatan haji adalah untuk memberi pengalaman-pengalaman cemas kepada para hujjaj. Suasana cemas ini akan dirasai ketika perlaksanaan ibadah melontar jamrah, tawaf ifadhah dan sai’e rukun. Cemas, takut dan bimbang dengan kematian yang bakal menjelma di depan mata pada bila-bila masa kerana dihimpit dan diasak oleh jutaan manusia adalah beberapa fenomena biasa yang bakal dihadapi oleh semua para haji. Semua para hujjaj akan sibuk dengan hal masing-masing dan tidak akan menghiraukan perihal orang lain. Semua akan cemas dan tidak mampu untuk membantu orang lain hatta sekalipun yang meminta bantuan itu ibu, isteri, anak atau sesiapa sahaja yang disayanginya. Hal ini kerana haji juga mempamerkan beberapa keadaan kalut dan huru-hara pada hari kiamat yang pasti akan dihadapi oleh semua orang. Sehinggakan digambarkan bahawa ibu yang mengandung akan berguguran kandungannya dan ibu yang menyusu akan bertempiaran lari meninggalkan anak susuan yang amat disayanginya. Renungilah firman Allah;


Maksudnya : Pada hari kamu melihat ( peristiwa-peristiwa yang menggerikan ) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap -tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat dan menggerikan. Surah Al-Hajj Ayat 2

Demikianlah beberapa pengajaran di sebalik gambaran peristiwa ibadah haji yang mampu menginsafkan para hujjaj sehinggakan mereka pulang daripada ibadah haji dalam keadaan suci bersih dari segala noda dan dosa umpama bayi yang baru dilahirkan dari perut ibunya. Pastinya ganjaran bagi haji yang penuh keinsafan ini ialah Syurga seperti mana sabda baginda yang berbunyi ‘ Tiadalah ganjaran bagi haji yang mabrur melainkan Syurga’.