Thursday, March 01, 2007

Kerajaan Dengan Artis : Bagai Isi dengan Kuku

Oleh : Cui Al - Dikki

Mukaddimah.

Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa para ulama dan pemimpin adalah dua nadi utama kepada kesejahteraan rakyat dalam sesebuah negara. “Dua golongan daripada kalangan manusia apabila baik dua golongan tersebut maka eloklah masyarakat dan sekiranya rosak dua golongan itu maka binasalah masyarakat, mereka ialah pemimpin dan ulama’.

Namun hasil didikan Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Ulil Amri Islam Hadhari masyarakat Malaysia kini secara umumnya telah menjadikan golongan artis sebagai kiblat menentukan halatuju masyarakat. Segala program kerajaan akan disokong dan didokong oleh artis. Malam Sambutan Tahun Baru saban tahun pasti menjanjikan satu hiburan tanpa sempadan di kala barisan artis terkemuka tanah air menjadi tetamu undangan. Manakala Tahun Melawat Malaysia 2007 artis juga sebagai penghibur. Di karnival, keraian dan majlis kenamaan pasti artis menjadi taruhan. Bahkan sehinggalah peristiwa besar dalam sejarah Malaysia turut menampilkan barisan artis menjadi kumpulan sasar sebagai pelaksana konsert I Am The Force Of Nature. Tsunami dan banjir besar di Johor artis menjadi penghibur bagi hati yang berduka lara bukannya golongan agamawan yang akan membisikkan pesanan kerohanian dalam bentuk kesabaran dan menginsafi kebesaran tuhan. Inilah hasil kejayaan pendidikan fahaman hedonisme oleh pemimpim pemegang amanah rakyat di seluruh negara.

Ironinya artis sebagai ikon masyarakat bukanlah sesuatu yang menjadi kesalahan dalam hukum – hakam agama. Malah artis yang mempunyai ciri-ciri mukmin sejati, kuat taqwanya, takut kepada balasan seksaNya, mengikut segala panduan syariat Islam, komited memperbaiki kesalahan sendiri dan menyeru umat kepada Allah dan RasulNya merupakan cermin terbaik kepada masyarakat untuk mencontohi mereka. Pokok permasalahan hanya satu tiada duanya. Siapa personaliti artis Malaysia?

Bukankah pemimpin Kerajaan Malaysia dengan para artis tanahair ibarat isi dengan kuku. Saling bantu - membantu ibarat aur dengan tebing. Tapi sayang seribu kali sayang bukan saling tolong - menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan kepada Allah SWT tetapi kerjasama yang padu dan jitu dalam perkara maksiat kepadaNya. Pertumbuhan artis tanahair disuburkan dengan baja judi melalui SMS dalam rancangan realiti televisyen tanpa memperdulikan nasihat para mufti. Pendedahan aurat oleh para artis yang mengghairahkan telah dieksploitasikan dan diberi nilai tambah oleh Kerajaan Malaysia dalam sisipan Panca Indera milik akhbar penyebar fikiran rakyat untuk tatapan rakyat jelata. Apa yang paling menyedihkan umat Islam di Malaysia ialah Kerajaan Islam Hadhari mengetepikan sensitiviti umat Islam apabila mengambil sikap membela dan melindungi artis yang bermulut celupar menghina ummahatul mukminin ( ibu kepada seluruh orang-orang mukmin ) iaitu Saidatina Khadijah Binti Khuwailid tanpa adanya tindakan tegas tidak ubah seperti kuku yang setia melindungi isi walau apa pun terjadi. Mekanisme kerajaan bukan merangka plan tindakan dalam isu penghinaan kepada isteri nabi tetapi ialah nilai sensasi yang menjadi sumber keuntungan pihak media itulah yang menjadi keutamaan.

Kerajaan Memperkudakan Artis Demi Melalaikan Masyarakat

Kerajaan hari ini merupakan amanah rakyat yang akan dipersoalkan pada hari esok. Mahkamah rakyat di dunia adalah melalui pilihanraya. Rakyat berkuasa melalui ruang demokrasi yang ada untuk menjulang setinggi langit pemimpin yang mereka cintai dan mengecewakan sesiapa sahaja yang dibenci. Manakala pertanggungjawapan di hadapan Allah adalah sesi soal jawab di mahkamah Allah di akhirat kelak. Setiap pemimpin dan yang dipimpin pasti akan disoal dengan teliti dan rapi mengenai apa yang dikerjakan ketika di dunia suatu masa dahulu. Kerajaan yang baik adalah pemimpin yang mendidik dan membawa masyarakat kepada keredhoan Allah.

Kerajaan yang baik akan membimbing naluri masyarakat yang mencintai hiburan kepada perkara - perkara yang tidak bercanggah dengan syarak. Islam bukanlah agama yang anti hiburan dan anti artis yang menjayakan hiburan tetapi kedatangan Islam adalah untuk membimbing perkembangan seni dan budaya setempat kepada perkara-perkara yang baik dan sihat untuk perkembangan tamadun manusia dalam sesebuah negara.

Perlaksanaan konsert yang tidak menepati kehendak syarak pasti di sana tersimpan seribu satu keburukan dan kemudharatan kepada manusia. Sekiranya sesuatu konsert amal yang berlangsung dengan tujuan mengutip bantuan tetapi tidak menghiraukan persoalan waktu solat, percampuran lelaki dan perempuan dan tambahan pula artis tidak berakhlak dengan hiburan yang melalaikan tetap juga dihukumkan haram pada pandangan agama Islam walaupun tujuannya adalah untuk beramal. Islam tetap berpegang dengan prinsip Al-Ghaytun La Tubarrirul Wasilah (matlamat yang baik tetap tidak akan sekali-sekali menghalalkan cara yang haram untuk mendapatkan matlamat yang baik tersebut). Pesta Maksiat seumpama ini akan membuka ruang kepada hubungan sosial yang bebas. Akibatnya gejala seks rambang akan menular, wabak penyakit kelamin yang merbahaya seperti AIDS & Siflis akan merebak dan impak negatif yang akan menyerang kita ialah suburnya gejala pembuangan anak zina bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Malangnya kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang memperkudakan artis untuk menjayakan semua agenda pemimpin kerajaan. Contoh yang jelas umpamanya Kerajaan Negeri Johor telah menjayakan aktiviti amal untuk mangsa banjir melalui konsert hiburan dan makan malam perdana bersama barisan artis muda dan veteran. Rombongan demi rombongan diatur ke Johor demi membahagiakan duka lara mangsa banjir tanpa mengambil kira hukum – hakam agama lagi. Konsert Sure Heboh sudah semestinya menjadi acara rasmi tahunan bagi semua kerajaan negeri yang berminat menganjurkannya walaupun berkali-kali telah gembar-gemburkan bahawa hukum perlaksanaannya yang tidak menurut syariat adalah haram oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan Sohibul Samahah Dato’ Dr Harussani. Demi meraih undi di dalam pilihanraya artis sekali lagi ditunggang untuk meraih undi. Rakyat disogokkan dengan budaya berhibur. Hiburan yang melampau akan menjanjikan rakyat jauh dari kesedaran beragama dan hanyut dalam kancah hiburan. Rakyat yang dilahirkan oleh kerajaan seumpama ini akan mewarisi budaya berhibur tanpa memikirkan lagi masa depan negara.

Membela Artis Melakukan Maksiat Mencela Ulama

Suatu ketika dahulu Malaysia telah digemparkan dengan isu penangkapan ratu cantik dari bangsa Melayu yang beragama Islam. Ekoran dari kejadian itu Dato Ishak Baharom selaku Mufti Kerajaan Negeri Selangor ketika itu telah bertindak menasihati dan cuba membetulkan keadaan gawat namun yang berlaku adalah sebaliknya. Ratu cantik tetap dibela dan dijaga oleh kerajaan tetapi dalam masa yang sama mengenakan tekanan kepada mufti dan ulama sehinggalah beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan. Drama kerajaan Malaysia membela artis bagai isi dengan kuku tidak berhenti di situ sahaja. Isu berat sebelah ini sekali lagi hadir pada tahun 2005. Pusat Hiburan The Zouk pula menjadi saksi bisu bahawa pihak jabatan agama telah menangkap sekumpulan artis yang mengadakan pesta seks dalam keadaan mabuk. Keputusan tetap sama. Para ulama dan penguatkuasa pula yang ditegur dan diberi amaran oleh menteri tetapi tiada sebarang tindakan dikenakan kepada pelaku kelakuan maksiat tersebut. Bukti tidak pernah membohongi rakyat Malaysia bahawa kerajaan lebih membela artis dan menafikan peranan golongan agamawan yang memberi nasihat demi kebaikan negara. Rancangan hiburan melampau dan realiti televisyen untuk melahirkan pelapis artis dikembang biakkan tanpa sebarang kajian tentang pengaruhnya kepada pemikiran Bangsa Melayu. Cukuplah rancangan The GangStars dan rancangan Akademi Fantasia menjadi bukti biarpun kedapatan pelbagai lagi program hiburan. Tidak memadai dengan hiburan melampau kerajaan sekali lagi menjadi jaguh dengan menobatkan barisan artis dengan gelaran dan ganjaran yang secara tidak langsung mempromosikan artis sebagai ikon dalam masyarakat. Artis sebagai idola terus dijunjung dalam acara kemuncak Muzik-Muzik dan juga Anugerah Bintang Popular dan banyak lagi keraian.

Hasrat murni kerajaan dalam menjayakan Islam hanya tinggal slogan apabila artis terus dijulang. Dalam masa yang sama rancangan yang bersifat keagamaan amat berkurangan. Sandiwara kerajaan ini mula berubah nada apabila tahun 2006 menyaksikan gelombang kesedaran dan keinginan rakyat yang mahukan kebangkitan Islam.

Penutup

Pastinya kesedaran beragama ini telah dimulai dengan Kerajaan Negeri Kelantan. Di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pelbagai program hiburan telah diatur dan disusun. Kerajaan Islam tidak anti hiburan tetapi membimbing hiburan agar ianya selari dengan syariat Islam. Malam Kesenian Islam Sempena Perasmian Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam telah menyaksikan sebuah hiburan yang terkawal dan menepati kehendak agama. Usaha membimbing masyarakat kepada agama melalui medium hiburan dengan meletakkan artis yang berakhlak sebagai ikon wajar dipuji dan dicontohi. Artis yang bertaqwa dan berakhlak akan mudah diterima dalam masyarakat sebagai ikutan kerana artis adalah insan yang dilahirkan dengan bakat menghiburkan orang lain. Kewajipan berdakwah menyeru orang lain kepada Islam dan menyeru orang menamalkan Islam sebagai cara hidup bukan tanggungjawab pemerintah sahaja malah bebanan yang berat ini juga terpikul di atas bahu insan muslim yang bergelar artis. Artis sebagai agen dakwah adalah impian sesebuah kerajaan Islam bukannya memperkudakan artis dan membelai mereka bagai isi dengan kuku untuk melalaikan masyarakat agar jauh daripada tuhan. Sebagai renungan hayatilah pesanan Baginda ‘Barang siapa yang mengucapkan kalimah la ila ha illah maka dia adalah seorang pendakwah’.