Tuesday, April 08, 2008

MEKANISME PENDIDIKAN AWAL MELALUI ACUAN AL – QURAN

Oleh : Nor Fadhilah Wahab

Islam merupakan agama yang menjulang martabat ilmu dan pendidikan. Buktinya amat jelas melalui firman Allah SWT di dalam Al - Quran menerusi firman pertama Kalamullah di dalam Surah Al – A’laq. Firman Allah yan pertama kepada Nabi Muhammad SAW ini adalah berkisar mengenai ilmu dan pendidikan.


Melihat kepada betapa hebat dan agungnya martabat ilmu ini maka Islam amat mengganjurkan budaya keilmuan sejak di awal kandungan dan amat menitik beratkan persoalan pendidikan awal dalam mengawal perkembangan fizikal, mental dan emosi seseorang bayi. Bahkan harga ilmu tiada nilai dan tara serta tiada tolok bandingnya lagi. Ilmu adalah aset berharga dan permata yang tiada nilaian tukar ganti untuk diwarisi kepada generasi akan datang. Pendidikan awal yang terancang akan membantu pembinaan masa depan anak yang cemerlang. Ibarat kata pujangga:

العلم في الصغار كالنقش على الحجر والعلم في الكبار كالنقش على الماء

Maksudnya :
Menuntut ilmu di usia muda ibarat mengukir di atas batu manakala menuntut ilmu di kala tua ibarat mengukir di atas air.


Al –Quran Mendedahkan Teknik Pengulangan Dalam Proses Pendidikan Awal Anak

Ilmu dan Islam tidak dapat dipisahkan. Melalui ilmu manusia akan terdorong mendapat cahaya petunjuk Ilahi dan akan tersimpang jauh dari kesesatan menuju jalan kebenaran. Setiap anak mesti dibimbing untuk mencari ilmu. Proses pembelajaran anak – anak berlaku sepanjang masa. Anak – anak yag membesar dalam budaya ilmu akan menjana minda yang kritis dan dinamik.

Al – Quran sentiasa mengulang – ulang ayat – ayat tertentu supaya fokus pembaca akan tetap segar tanpa hilang kawalan dan tersasar. Sebagai contoh banyak ayat menyarankan manusia sentiasa menggunakan akal untuk berfikir dan menaakul. Proses memikir dan menaakul ini merupakan beberapa perkembangan proses pendidikan sepanjang tumbesaran anak – anak. Minda anak kecil amat mudah ‘menangkap’ sesuatu yang diajari. Sebanarnya daya ingatan jangka pendek ini tidak akan kekal dalam tempoh yang lama di dalam minda. Namun memori ini dapat bertahan lama sekiranya proses input data berlaku secara pengulangan. Anak – anak yang diasuh dengan panggilan mama, emak, ibu, ummi, abah, ayah, abi, mummy atau daddy akan kekal memanggil ibunya dengan gelaran tersebut sehingga akhir hayat dikandung badan. Inilah impak positif yang cukup besar dalam psikologi anak - anak yang semakin membesar.

Malah tabiaat yang baik atau akhlak terpuji seperti mengucapkan kalimah bismillah apabila melakukan sesuatu yang baik agak juga agak payah untuk dipraktikkan oleh anak – anak jika proses pembelajarannya berlaku sekali sahaja sepanjang hayat. Secara hakikat, seandainya proses pembelajaran dan pendidikan itu berlaku secara pengulangan maka hasilnya akan lebih tampak kelihatan dan kekal menjadi tabiat dan akhlak yang sukar dihapuskan. Bukti yang jelas kelihatan ialah bagaimana anak dapat menghayati kemuliaan tangan kanan yang hanya digunakan pada perkara kebaikan dan ‘keistimewaan’ tangan kira yang hanya dikhususkan kepada proses tertentu dalam kehidupan seharian. Pengulangan demi pengulangan akan membuahkan sesuatu yang kekal sebagai tabiat seharian.

Penceritaan Kisah - Kisah Gembira dan Ancaman Menurut Al – Quran

Al – Quran merupakan kalam Allah yang mengandungi hampir 7000 ayat. Gabungan kepelbagaian ayat ini merangkumi ayat – ayat hukum, ayat – ayat renungan, ayat – ayat yang menceritakan rahsia kejadian bumi dan langit serta apa di antara keduanya dan juga ayat yang merangkumi penceritaan kisah – kisah gembira dan kisah yang memberi ancaman balasan buruk kepada pelaku kejahatan. Melalui teknik penceritaan dalam Al – Quran ini kita dapati pengaplikasiannya dapat dijadikan mekanisme pendidikan awal anak – anak sebagai langkah permulaan yang baik dalam melahirkan modal insan yang beriman.

Anak – anak amat gemar mendengar cerita dan suka melihat watak – watak dalam sesebuah cerita itu dihidupkan melalui lakonan ayah dan ibu mereka. Hal ini secara tidak langsung akan membantu proses pendidikan dan pengajaran supaya berlaku secara tidak formal. Ayah dan ibu yang mantap tidak akan melepaskan segala peluang keemasan mendidik dan mengasuh anak – anak bermula dari waktu pagi sehinggalah ke katil di kala menjelang waktu tidur. Gaya, teknik dan lakonan untuk menghayati sesebuah penceritaan akan dinilai dan dirakam ke dalam memori anak-anak dan diterjemahkan semula dalam perilaku seharian.

Kepelbagaian kisah di dalam Al – Quran dapat diadaptasi untuk mendidik anak – anak melalui penceritaan yang menarik. Antara kisah dan pengajaran menerusi jendela Al – Quran ialah kisah para nabi dan rasul, kisah orang – orang solih seperti Luqmanul Hakim, kisah pemuda beriman Ashaabul Kahfi dan juga kisah – kisah haiwan di dalam Al – Quran yang dapat meninggalkan moral penceritaan yang cukup mendalam ke dalam jiwa anak - anak.

Selain kisah – kisah teladan yang meransang perlakuan baik dan pekerti mulia boleh diceritakan terdapat juga kisah pengajaran yang akan menjadi benteng dan tembok dari terjebak melakukan larangan Allah. Antara kisah – kisah ancaman ialah balasan buruk kepada kaum – kaum terdahulu seperti Kaum Nabi Luth, Kaum Nabi Shuib dan juga kisah kemurkaan Allah kepada Firaun yang mengaku diri menjadi tuhan.

Kesemua bahan – bahan penceritaan ini telah pun tersedia di dalam Al – Quran. Apa yang diperlukan hanyalah sedikit kreativiti dan gaya penceritaan yang menarik dari ayah dan ibu sahaja untuk menjadikan penceritaan adalah teknik pendidikan anak semenjak usia muda seawal anak – anak sudah mula bertutur dan berinteraksi dengan ayah bonda.

Ganjaran Dan Insentif Di Atas Kerjasama Dan Usaha Anak – Anak Menghayati Ilmu

Banyak ayat di dalam Al – Quran menceritakan ganjaran serta balasan di atas segala amalan yang telah dilakukan oleh setiap insan. Ganjaran dan balasan boleh diklasifikasikan sebagai ganjaran Syurga yang mengalir di bawahnya air kepada setiap perlakuan baik dan balasan buruk berupa seksaan di dalam neraka pula disediakan Allah bagi pelaku kejahatan kepada orang lain.

Mekanisme ganjaran dan balasan baik buruk ini adalah bertepatan dengan fitrah manusia dan psikologi anak – anak itu sendiri. Apabila anak – anak dijanjikan dengan ganjaran berupa upah, insentif dan habuan jika mengamalkan akhlak mahmudah yang diasuh kedua ibu bapanya maka minat dan semangat mereka untuk melakukan kebaikan itu akan terus teransang dan meningkat. Manakala ancaman berupa pukulan atau denda pula secara tidak langsung akan berjaya mematikan naluri kejahatan yang cuba dijelmakan oleh anak – anak dalam bentuk tingkah laku yang buruk.

Namun awas, kedapatan juga segelintir ayah bonda yang sering menjanjikan banyak tawaran menarik bagai menanam tebu di bibir tetapi mengotakan apa yang dijanji terlalu sukar bagai jauh panggang dari api seperti indah khabar dari rupa. Malangnya fenomena ini tanpa disedari bakal mengundang kemarahan dan dendam secara diam sehingga menimbulkan rasa tidak percaya lagi apabila janji manis ditabur.

Suntikan semangat melalui ganjaran apabila kebaikan dilaksanakan mestilah didasari dengan kefahaman yang jelas bukannya semata – mata nilaian kebendaan. Sikap materialistic adalah beberapa gejala yang negative yang mesti diimbangi dan dibendung oleh ayah bonda tatkala menguniakan sesuatu sebagai habuan kebaikan. Kebijaksanaan ayah dan bonda dapat melenyapkan sikap kebendaan ini dan bakal meransang anak – anak lebih memburu keredhoaan Allah dan syurgaNya yang lebih hebat dengan kepelbagaiaan kenikmatan kurniaan Allah seperti sungai susu, arak dan madu sebagai sebaik-baik tempat kembali bagi hamba yang melakukan amalan.

Pendikan awal anak-anak merupakan proses terpenting dalam pembentukkan fizikal , mental dan emosi anak-anak. Pendedahan ilmu di usia awal adalah saham terbaik sebelum hasil dituai apabila anak menjelang dewasa. Betapa sucinya anak-anak ibarat kain putih yang dilahirkan dalam keadaan fitrah suci tanpa dosa dan noda. Kedua ibu bapa merupakan pencorak kepada kain putih tersebut. Terpulanglah kepada ‘pencorak’ untuk melakarkan keindahan penghayatan agama Islam atau lebih menagih untuk meniru gaya hidup agama dan cara hidup Yahudi, Nasrani mahu pun Majusi.



Salam Dihulur Maaf Dipinta Buat Semua Pembaca Terutama Isteri Tersayang

"Seseorang yang sedang sibuk jangan disibukkan"
CUBAAN :
ini ialah cubaan sebelum blog ini diaktifkan semula, sekian terima kasih.
Assalamualaikum

Thursday, January 31, 2008

Azam Yang Membara



Kini tahun baru menjelang semula. Seseorang yang hebat tidak akan membiarkan masa berlalu tanpa meletakkan sasaran pada tahun ini. Perancangan tanpa iringan keazaman yang membara akan kecundang jua akhirnya. Namun azam yang membara juga tidak akan ke mana jika gagal merealisasikan apa yang dirancang.

Permulaan tahun baru ini merupakan masa terbaik mencetuskan lonjakan awal kerana selalunya kita memiliki azam yang membara setiap kali menjelang hari baru di tahun baru. Permulaan yang baik akan membantu kita mengecap tahun 2008 sebagai tahun penuh kecemerlangan. Syair arab pernah menyebut :

من لم يكن بدايته محرقة * فليس له نهايته مشرقة

“Sesiapa yang tidak memiliki pemulaan yang berkobar - kobar nescaya dia tidak akan memiliki pengakhiran yang bersinar”

Justeru itu, kita masih belum terlambat untuk menepuk dada dan bertanya kepada hati kecil apakah yang kita janjikan untuk tahun ini? Apa perancangan untuk mencapai impian yang telah disasarkan? Bagaimana pula jiwa dan semangat untuk mengecapinya?

Sebagai seorang mahasiswa, keseimbangan kecemerlangan antara akademik dan keunggulan syaksiah diri mungkin boleh memandu kita ke arah keterbilangan menjelang tahun baru 2008 ini. Mahasiswa yang sarat dengan visi dan misi pasti bersemangat waja untuk mengecap cita-cita.

Bayangkan mahasiswa tanpa imaginasi kecemerlangan dan tiada langsung semangat membara untuk menempah kejayaan. Sudah tentu sikap mereka hanya cukup makan dengan apa yang ada, hasil kerja sambil lewa, tiada istilah cemburu yang menjana perlumbaan mengejar kegemilangan sesama teman perjuangan dan yang lebih dahsyat mereka lebih selesa untuk memilih kehidupan dalam dunia mereka sendiri. Hidup penuh keseronokan dengan pasangan sendiri sedangkan diri menuju kehancuran tanpa disedari.

Penghayatan hijrah melalui azam tahun baru juga mestilah bermula dengan diri sendiri. Setiap diri kita merupakan nukleus kepada masyarakat. Nukleus ini akan mencorakkan situasi sebenar sesebuah komuniti. Kuat atau lemah struktur sel masyarakat adalah dinilai kepada nukleus ini. Lihatlah kepada diri kita akhirnya kita akan mengetahui hakikat masyarakat kita pada hari ini.

Medan pembentukkan nukleus ini adalah di dalam sebuah institusi yang dinamai dengan keluarga. Tanpa keluarga yang bahagia dan stabil maka struktur masyarakat akan menjadi pincang dan tempang. Sudah tentu pencorak kepada sesebuah keluarga adalah ayah dan ibu. Melalui penghayatan hijrah dalam kehidupan keluarga setiap pemimpin keluarga mesti meletakkan keazaman yang membara untuk menyediakan keluarga yang terbaik. Hasilnya anak-anak yang dilahirkan ke dalam komuniti masyarakat adalah anak yang berbakti dan berbudi kepada warga sekitar di mana jua dia berada.


Keluarga terbaik adalah keluarga yang memiliki pemimpin yang terbaik. Pemimpin keluarga umpama hati dalam anggota. Andai hati itu elok maka eloklah seluruh anggota jika hati itu kotor maka rosaklah seluruh jasad yang memiliki hati yang kotor itu. Baginda tidak pernah jemu memotivasikan para pengikutnya. Renunglah pesanan nabi dalam mengobarkan semangat untuk melakukan perubahan yang bermula dengan hati kerana hati adalah raja kepada badan :

ألا إن فى الجسد المضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله الأ وهى القلب

Sesungguhnya dalam jasad itu ada seketul daging, apabila elok daging itu maka eloklah seluruh badan dan jika rosak hati itu maka binasalah seluruh badan, seketul daging itu adalah hati.