Monday, November 19, 2007

Di Mana Pemuda Kita?

Di Mana Pemuda Kita?
Oleh : Cui _ Al_Dikki

Zaman pemuda adalah kemuncak kekuatan dan kelazatan dalam hidup manusia. Pemuda dan kekuatan tidak dapat dipisahkan. Gagasan dan wawasan yang diimpikan akan dapat direalisasikan kerana warga muda memiliki segala - galanya. Fizikal yang kuat, minda yang hebat, semangat yang membara, berhati waja adalah begitu sinonim dengan usia muda.

Peranan pemuda amat besar dalam mencorakkan masa depan negara. Di atas pundak barisan pemuda adalah amanah kepimpinan negara pada masa hadapan. Sasterawan Islam Al-Gahazali pernah menukilkan : negara yang cemerlang pada masa hadapan adalah bermula dengan hakikat pemuda masa kini.
Malang bagi sebuah negara Islam Malaysia apabila kita memiliki pemuda yang tidak mendaulatkan wawasan seperti diimpikan. Merempit, melepak, berkelakuan sumbang, gengsterism, dadah, jenayah dan menjuarai banyak lagi lapangan - lapangan negatif adalah paparan yang menggerunkan kepada negara kita pada masa hadapan. Kita amat mendahagakan proses pemulihan, pembentukkan dan pengukuhan pemuda.
Pemuda berwawasan merupakan aset terpenting dalam menjulang pembinaan tamadun negara manakala pemuda rosak binasa pencemar imej negara di mata dunia. Lihatlah pemuda ke angkasa raya. Dalam masa yang sama lensa kamera juga amat tertumpu kepada pemuda di jalan raya yang tidak boleh kita lupa dan leka perihal kegawatan ‘aksi’ mereka.
Hakikatnya kita mestilah membuka minda berlapang dada untuk mengakui kehebatan baginda Rasulullah SAW dalam merangka pembinaan golangan pemuda. Usamah bin Zaid telah memimpin bala tentera sebagai jeneral. Saidina Ali telah menggantikan tempat tidur baginda untuk mempertahankan Islam. Thoriq Bin Ziad telah memenangi banyak kejayaan di medan peperangan. Semua mereka adalah golongan belia dan pemuda yang lahir berbakti kepada masyarakat selepas dibentuk di bawah lembayung penddikan baginda dengan acuan agama sebagai cara hidup sebenar.
Masa perubahan belum terlambat tetapi daya tolakan untuk berubah wajar segera dilakukan. Pembinaan pemuda mestilah bermula dari pendidikan awal di tahap perkembangan minda seorang bayi walaupun seawal usia di dalam kandungan. Ibu yang mantap pengamalan agama dan hebat dalam memproses amanah anak pinjaman Allah kepadanya akan berjaya melahirkan seorang anak yang hebat dan tiada tandingan malah sukar di cari ganti. Bayangkan betapa hebatnya gaya pendidikan yang lahir dari diri seorang ibu kepada pedang Allah iaitu Saidina Khalid Bin Al-Walid. Pedang Allah ini telalu hebat untuk dikalahkan sehinggalah maut menjemputnya bukan di medan perang dek kerana kehebatannya menghinakan pihak musuh dengan pancungan maut. Mungkinkah ibu seumpama ini tidak ada lagi dalam lipatan sejarah manusia.
Benarlah ucapan Umar Al-Khattab yang telah menegaskan “ Tidak ada lagi ibu yang boleh melahirkan seorang pejuang sehebat Saidina Khalid Al-Walid ”
Pendidikan awal belum mencukupi jika manhaj pembentukkan pemuda seterusnya seperti dasar pendidikan dan sistem pembelajaran di sekolah tidak tunduk kepada suluhan rabbani. Sistem pendidikan yang gagal ialah bila mana proses mendidik gagal melahirkan insan yang takutkan tuhan pencipta diri manusia itu sendiri.
Pernah Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita bahawa “Barangsiapa mengenali dirinya sesungguhnya dia mengenali tuhannya”. Kegagalan untuk mengenal diri yang menjadi elemen teras kepada mengenal tuhan penciptanya akan melahirkan pemuda yang hanya berdisplin di hadapan pengawasan tetapi bermaharajalela apabila tiba masa berpesta.
Suluhan keimanan kepada yang ghaib adalah penawar integriti dan suntikan mujarab dalam mengubat duka lara kita terhadap ‘watak pemuda’ dan apa yang sedang kita hadapi. Pemuda beriman akan sentiasa mencari keredhoaan Allah dan bagi mereka kurniaan hidayah yang mencurah-curah tetapi pemuda kita...Di mana kesudahannya pemuda kita?

No comments: