Monday, January 15, 2007

PENGUKUHAN PENGAMALAN ISLAM PUNCA KELESUAN MELAYU?

Tanpa Hijrah Hidup Tak Ke Mana...

Pengamalan agama sering dibenci oleh ramai di kalangan manusia. Kebencian tersebut timbul tidak kira samada dari kalangan penganut agama samawi seperti agama Islam, Kristian dan Yahudi atau pun agama wadh’i seperti Hindhu dan Budha.

Setelah kedatangan fahaman Sekularisme iaitu kepercayaan pemisahan antara agama dan kerajaan, ajaran Kristian telah dikhususkan hanya diamalkan di gereja - gereja sahaja. Sejurus melangkah keluar dari gereja, agama mesti ditinggalkan tanpa perlu dihayati dan diamalkan lagi. Agama Kristian telah menjadi seolah-olah hak seorang paderi di gereja. Kepercayaan terhadap Indulgence disebarluaskan di kalangan penganut Kristian. Dosa mereka pasti akan terampun seratus peratus hanya dengan sedikit bayaran surat pengampunan kepada bapa Paderi “ si pemberi keampunan ”. Fahaman mereka ialah agama mesti dipisahkan dari pentadbiran kerana agama boleh menyekat kemajuan dan pembangunan.

Kedatangan Islam telah memberi sinar baru kepada insan - insan berdosa dalam mencari pedoman kehidupan. Islam adalah rahmat. Pengampunan bakal diperolehi dengan taubat dan penyesalan tanpa sebarang bayaran. Di celah-celah kegawatan bangsa lain di dunia menolak Islam jauh-juah, tampil rumpun Bangsa Melayu di bahagian Asia Tenggara mendabik dada mendakap penuh erat Islam sebagai agama kebenaran. Keris dihunus bagi yang ingin menentang. Jaguh-jaguh kepimpinan Melayu Muslim dengan tegas dan berani mengisytiharkan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan. Agama yang akan terus didaulatkan selagi Melayu tak hilang di dunia. Akidah umat Islam akan terus terbela dengan sumpah setia pendekar agama ini.

Namun sayang seribu kali sayang, kini bangsa Melayu yang menerima Islam menjadi semakin lesu, layu dan kuyu. Islam dalam hati Umat Melayu hanya di masjid dan surau sahaja tanpa dihayati dalam semua aspek dan lapangan kehidupan. Remaja Melayu menjadi juara rempit sambil meragut, menjadi hamba kepada dadah siang dan malam, menjadi jaguh pencinta wanita melalui pergaulan bebas dan budaya bercouple, siri rompakan bersenjata di sana - sini serta paparan artis Melayu sering menghiasi muka depan akhbar dengan pakaian serba seksi penuh sensasi. Episod kelesuan umat ini tiba ke kemuncak apabila Melayu sudah menolak agama kebenaran yang suatu ketika dulu menjadi pegangannya sendiri. Persoalannya ialah apakah kerana pengukuhan pengamalan Islam Melayu menjadi lesu?

Pengukuhan pengamalan Islam ini amat bertepatan dengan konsep hijrah yang kita akan sambut tidak lama lagi. Hijrah menuntut perubahan bersifat total ( menyeluruh )dari semua pihak bermula dari diri, keluarga, masyarakat, universiti dan negara. Islam telah meninggalkan satu warisan kejayaan terbesar iaitu konsep hijrah. Hijrah dalam erti kata berubah kepada kegemilangan. Berubah menjadi pekerja berintegriti. Berubah menjadi mahasiswa/mahasiswi yang dinamik dan berinovasi. Bergerak mencari mahmudah untuk meninggalkan mazmumah. Hijrah pembentuk anak soleh dan solehah sebagai permata ayahbonda.

Tetapi pelik dan ajaib kenapa bangsa Melayu Muslim kian rosak dan parah sedangkan konsep hijrah ini dilaungkan saban tahun? Apa mungkin kerana pengamalan agama adalah pencetus fenomena kelesuan umat melayu?

1 comment:

Anonymous said...

Syeikh, hebat artikel ni. Ana dah edit skit dan masukkan dalam Buletin, ubah ikut waqi' masyarakat setempat, tak berapa universiti sangat...