Wednesday, January 24, 2007

Khutbah Jumaat Sempena Maal Hijrah 1428H : Menginsafi kesalahan MENJANA perubahan

الحمد لله الذي جعل الهجرة سنة من سنن انبيائه. ووسيلة من وسائل نشر رسالته واقامة شريعته. والصلاة والسلام على سيدنا محمد. أمره بتبليغ
رسالته وعلى ءاله وأصحابه اجمعين.
اشهد ان لا اله الا الله.واشهد ان محمد عبده ورسوله.
اما بعد فيا عباد الله .اتقوا الله.ولا تموتن الا وانتم مسلمون.
وقال الله تعالى في كتابه العزيز.

Maksudnya :
Dan orang - orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah ( untuk membela Islam ) dan orang - orang ( Ansar ) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan ( kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu ), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia. Surah Al-Anfal Ayat 74.


Sidang Mukminin Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Mimbar ingin mengingatkan diri sendiri dan ahli jemaah sekalian agar bertaqwa kepada Allah SWT. Marilah kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan semua larangannya. Seterusnya marilah kita bersama - sama menginsafi diri sedar bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa. Manakala kita hanyalah makhluk Allah yang kerdil dan lemah.
Marilah kita menyedari hakikat bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Agung Dan Maha Mulia manakala kita hanyalah makhluk pinjaman dari tuhan untuk hidup di dunia yang serba kekurangan dan penuh tipu daya. Kita juga adalah ciptaan Allah yang berasal dari titis air mani yang hina. Hina pada pandangan tuhan kerana tidak mensyukuri segala nikmat yang telah dikurniakan. Pada masa yang sama kita mempunyai banyak koleksi dosa dan noda sepanjang tahun 1427 Hijrah yang lalu. Mudah - mudahan rasa kehinaan dan rasa berdosa ini akan melahirkan perasaan ingin melaksanakan tuntutan taubat nasuha sempena sambutan 1428 Hijrah yang kita akan sambut pada petang ini.

Sidang Hadirin Sekalian,
Hari ini adalah hari terakhir kita dihidupkan oleh Allah SWT dalam bulan Zulhijjah 1427 Hijrah. 1428 Hijrah akan disambut dengan bacaan doa akhir tahun dan disusuli pula dengan bacaan doa awal tahun baru hijrah. Sambutan Maal Hijrah bukan sebarang program, tetapi ia merupakan permulaan kepada keazaman kita pada tahun baru hijrah ini, iaitu keazaman untuk tidak mengulangi maksiat kepada tuhan dan sebaliknya menanam keazaman untuk bersama-sama membantu agama Allah dengan meniru gaya hidup para nabi dan rasul serta golongan - golongan pembantu agama Allah yang telah berjaya seperti Golongan Muhajirin dan Golongan Ansar. Mereka telah pun memenuhi tuntutan Allah agar beriman, seterusnya menyahut perintah Allah untuk berhijrah dan perintah Allah berupa Jihad Fi Sabilillah untuk membela Islam. Bagi mereka ialah ganjaran dari Allah berupa keampunan dariNya dan kurniaan rezeki yang luas dan mulia. Buktinya ialah firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 20 hingga 22 :





الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ (٢٠) يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُمْ بِرَحْمَةٍ مِنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُقِيمٌ (٢١) خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ (٢٢)
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga. Mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan di sisiNya pahala yang besar.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Hijrah adalah satu tuntutan tuhan kepada para hambanya. Keimanan kepada Allah telah menjadikan semua perintah Allah tetap dijunjung dan disempurnakan walaupun ianya sulit dan sukar. Rasulullah SAW telah membuktikan melalui hijrah agung baginda dengan meninggalkan Kota Mekah bumi kelahiran baginda menuju ke Kota Madinah semata - mata kerana memenuhi tuntutan menegakkan sebuah negara setelah baginda telah dibuang dan ditolak di negera sendiri kerana menegakkan cara hidup Islam. Biar pun hijrah bersama baginda Rasulullah SAW telahpun berakhir, namun tuntutan hijrah dalam konteks meninggalkan segala maksiat dan menuju keredhoan tuhan tetap berkekalan sehinggalah hari kiamat.
Sabda nabi SAW :
لا تنقطع الهجرة حتى تنقطع التوبة ولا تنقطع التوبة حتى تطلع الشمس من مغربها
Maksudnya ;
“Hijrah tidak akan berakhir sehinggalah berakhirnya peluang bertaubat dan peluang bertaubat tidak berakhir sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat” - Riwayat Abu Daud


Sidang hadirin sekalian,
Hijrah ialah perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Pengertian hijrah kerana mencari sesuatu dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu mencari agama dan mencari penghidupan dunia dengan cara yang diredhoi Allah. Berjalan dan berhijrah ke sesuatu tempat untuk mengambil pengajaran dan pengiktibaran dari bencana yang Allah timpakan juga adalah tuntutan hijrah dalam mencari agama. Renungilah bagaimana kekuasaan Allah menggoncang bumi melalui fenomena gempa bumi sehinggalah menghancurkan puak Ad dan Samud yang Allah utuskan Nabi Hud dan Saleh sebagai pemberi ingatan. Allah menurunkan azab pula kepada kaum Luth yang mengamalkan homoseksual dengan menterbalikkan bumi. Lawatilah tempat di mana Allah menenggelamkan semua penentang Nabi Allah Nuh melalui banjir besar serta luar biasa yang melimpah-limpah airnya dari langit dan bumi. Ambillah peringatan melalui rakaman sejarah besar dunia untuk terus patuh dan beriman kepada Allah :

Maksudnya : Tidakkah orang-orang ( yang tidak mahu beriman ) itu pergi mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang - orang kafir yang terdahulu dari mereka, sedangkan orang terdahulu itu lebih kekuatanNya dari mereka? Kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Hadirin Mukminin Yang Di Kasihi Allah Sekalian,
Sempena Maal Hijrah yang kita akan sambut pada petang ini marilah kita jayakan hijrah dalam bentuk meninggalkan larangan - larangan Allah dan memperkasakan diri kita selaku mukmin sejati agar tidak mudah tunduk dan patuh kepada kehendak musuh-musuh orang beriman iaitu yang terdiri daripada orang-orang kafir yang ingin memerangi kita, syaitan yang sentiasa tidak berputus asa menyesatkan kita, orang - orang Islam sendiri yang bersikap dengki kepada kita, orang - orang munafik di kalangan kita yang selalu memarahi orang mukmin dan musuh dalaman kita sendiri iaitu hawa nafsu yang sentiasa ingin menang ke atas diri kita. Tanpa mujahadah dari kita pasti kita akan cenderung untuk mengulangi kesilapan tahun lalu berulang kali pada tahun ini. Sedarlah betapa ancaman Allah adalah neraka yang azabnya amat menghinakan.

Maksudnya :
“Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas syariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”

Seseorang yang berhijrah meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT bukan sahaja mendapat keampunan daripadaNya tetapi mendapat pahala kerana tindakan yang bijaksana itu.
المهاجر من هجر ما نهى الله عنه
Maksudnya:
“Orang yang berhijrah ialah sesiapa yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah daripada malakukannya.” - Riwayat Bukhori dan Muslim.

Sidang Jumaat Sekalian,
Sebenarnya kemunduran dan ketinggalan umat Islam adalah berpunca dari sikap mereka sendiri bukannya kelemahan pada pengamalan agama Islam. Sikap negatif seperti malas, menangguhkan perlaksanaan sesuatu urusan tanpa sebab, hasad dengki sesama sendiri dan mengambil pendekatan cukup dengan apa yang ada merupakan sebahagian daripada sikap-sikap yang perlu dihakis dan dikikis serta dihapus lumatkan dari diari kehidupan umat Islam sekiranya mereka ingin meletakkan diri mereka di mercu kecemerlangan dan kegemilangan. Sesungguhnya perubahan sikap negatif kepada positif adalah hijrah dan melaluinya Umat Islam dapat menempa kemajuan dan meletakkan diri mereka pada kedudukan yang dikagumi oleh kawan dan lawan.

Maksudnya :
“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana ( disebabkan kesalahan mereka sendiri ), maka tiada sesiapapun Yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

2 comments:

Anonymous said...

Tenets of Buddha-nature Doctrine

Clinging to the well-being of mere peace' signifies the lower capacity [Hinayana] attitude wherein the longing to transcend suffering is focused on oneself alone. This precludes the cherishing of others and hence there is little development of altruism. [...] When loving kindness and compassion become part of one, there is so much care for other conscious beings that one could not bear to liberate oneself alone. [...] Master Manjushriikiirti has said: �A Mahayana follower should not be without loving kindness and compassion for even a single moment', and �It is not anger and hatred but loving kindness and compassion that vouchsafe the welfare of others'.

Anonymous said...

Minta maaflah saya tak faham sepatah haram..hehehe

maaflah saya bukan ustaz