Wednesday, September 27, 2006

RAMADHAN PENJANA BIAH SOLEHAH

Bulan Ramadhan telah dimuliakan oleh Allah SWT mengatasi bulan-bulan yang lain. Ramadhan mampu menjana satu suasana yang cukup indah bagi orang-orang beriman. Siang dan malam silih berganti di Bulan Ramadhan, pastinya diwarnai dengan kepelbagaian corak warna-warni pengibadatan kepada Allah dengan penuh ketaatan dan iringan keikhlasan sejati kepadaNya.
Keindahan hidup dalam suasana penghayatan Islam inilah yang dikenali dengan “Biah Solehah”. “Biah” adalah kalimah Arab yang bermaksud suasana, keadaan dan juga persekitaran. Manakala “Solehah” pula ialah semua yang baik pada perspektif syarak iaitu menyuruh melakukan yang baik (makruf) dalam masa yang sama menghalang dari melakukan yang jahat (mungkar) pada pandangan Islam.

Pembentukan “Biah Solehah” pasti akan tercapai melalui penghayatan amalan-amalan di Bulan Ramadhan. Ramadhan telah mendisplinkan kehidupan semua mukmin dengan bersahur di awal pagi seterusnya menghabiskan masa sebelum subuh dengan latihan bangun malam untuk beribadah (qiyamullail) walaupun memadai dengan sekadar 2 rakaat Solat Sunat Tahajud.

Biah Solehah di bulan berkat ini juga akan terhasil melalui kefardhuan berpuasa sebulan di Bulan Ramadhan. Puasa yang dikehendaki agama bukannya semata - mata merasai keperitan lapar dan dahaga tetapi juga mesti menahan semua anggota badan dari melanggar tegahan Allah dan RasulNya. Inilah hakikat puasa khusus yang telah digariskan oleh Imam Nawawi Rahimahullah dalam Kitabnya Ihya Ulumuddin. Puasa kategori ini akan berjaya menundukkan hawa nafsu yang bersarang dan bertakhta di jiwa menjadi lemah dan patuh kepada perintah Allah seterusnya lahirlah hamba yang akan takut untuk menerjah sempadan larangan-larang AllahS.W.T.

Rasulullah SAW adalah model pemimpin yang telah berjaya membentuk biah solehah. Strategi yangbaginda gunakan adalah terlalu mudah untuk kita mencontohinya. Hanya melalui dua langkah yang mudah iaitu pembacaan Al-Quran secara bertadarus dan pengamalan segala hukum hakam yang terkandung di dalamnya. Itulah serampang dua mata senjata ampuh yang amat berkesan dalam melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana Biah Solehah.

Alangkah indahnya suasana “Biah Solehah” di Bulan Ramadhan ini dapat dilestarikan hingga ke hari-hari seterusnya di bulan-bulan yang lain. Para sahabat dulu menangisi pemergian Ramadhan dan berdoa agar setiap bulan adalah bulan Ramadhan. Pengamalan yang berterusan hasil didikan dan latihan di Bulan Ramadhan itulah yang menjadi harapan kerana para ulama’ pernah bermadah "Beristiqamah dalam ibadat adalah lebih baik dari memiliki 1000 karamat".

No comments: