Wednesday, August 02, 2006

KECEMERLANGAN

Tajuk: KECEMERLANGAN YANG LESTARI (Sustainable Excellence)
Kecemerlangan dalam kehidupan adalah impian semua orang terutamanya para mahasiswa dan mahasiswi sebuah universiti. Namun sebelum nikmat kecemerlangan dapat dikecap terlalu banyak onak dan duri yang mesti ditempuhi. Cabaran kepada sesuatu kecemerlangan acap kali akan hadir bertalu-talu tanpa jemu ibarat gelombang samudera gagah yang membelah bahtera dalam pelayaran menuju cita-cita. Hanya yang gigih berusaha, diiringi pula tautan doa pengharapan kepada Yang Maha Esa saja yang akan berjaya menggenggam segulung ijazah dengan natijah penuh kegemilangan.

Perjalanan Israk Mikraj Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW telah mengajar kita erti sebuah kecemerlangan dalam konteks kehidupan seorang pelajar. Kepelbagaian episod suka duka baginda dalam perjalanan ini janganlah dibiarkan berlalu tanpa penghayatan. Bermula dengan peristiwa belahan hati dan penyuciannya dengan Air Zam-Zam adalah simbolik kepada peri pentingnya persiapan diri dalam menuntut ilmu. Perjalanan baginda diteruskan sehinggalah baginda dihalangi dengan pelbagai ujian kehidupan dalam menempa kejayaan menuju tuhan. Baginda telah diganggu oleh seorang wanita tua berbongkok tiga dan hodoh rupanya. Segala rayuannya diketepikan tanpa sebarang kompromi. Baginda turut dikejar Ifrit yang ingin melihat baginda gagal dan tersasar dari terus sampai kepada matlamat. Begitulah keadaannya kehidupan warga penuntut. Mahasiswa/wi semestinya akan berhadapan dengan dugaan dunia yang terlalu banyak. Hedonisme, Sekularisme, Liberalisme, dan Materialisme adalah antara perangkap samar yang sekali-kali tidak akan melupakan mangsanya. Musuh kita yang nyata pastinya tidak akan duduk saja membuang masa. Janganlah menyalahkan musuh kita yang nyata andai diri tidak cemerlang.
Renunglah Maksud Firman Allah dalam Surah Ibrahim Ayat 22:
Dan berkatalah Syaitan tatkala perkara ( hisab ) telah diselesaikan :’Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan sekadar aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih.

Sebagai penuntut ilmu mahasiswa/wi mestilah peka dengan semua faktor pendorong dan penggalak kepada sesebuah kejayaan. Pastikan kejayaan menjadi milik kita selaku pelajar muslim. Jadikanlah kejayaan kita itu bersifat lestari (sustainable) bukan sahaja melepasi jangkauan globalisasi di dunia ini tetapi kesinambungan kejayaan tersebut hingga ke kehidupan akhirat. Solat merupakan faktor utama penentu kejayaan seorang pelajar muslim. Renunglah bagaimana hebatnya perintah solat itu hinggakan Baginda sendiri yang pergi menghadapNya. Itulah matlamat terakhir dalam peristiwa Malam Israk Mikraj.

Baginda memulakan perjalanan agung itu dengan penyucian dan pengakhirannya adalah bertemu dan berdialog dengan Tuhan Sang Pencipta Pemilik Alam Semesta tanpa sebarang hijab mahupun pengantara. SOLAT, itulah satu-satunya perintah dari Yang Maha Esa sebagai pengantara hubungan antara hamba dengan tuhannya. Kecemerlangan yang lestari ( Sustainable Excellence ) milik seorang pelajar adalah bermula dengan solat yang terbilang. Renungilah Ayat 1 hingga 11 Surah Al-Mukminun :

Sesungguhnya telah cemerlanglah (beruntunglah) arang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang Khusyuk’ dalam solatnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan & percatan) yang tiada berguna. Dan Orang-orang yang menunaikan zakat. Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka mereka tiada tercela. Barangsiapa mencari yang lain dari itu, mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya. Dan orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal (lestari) di dalamnya.

Kecemerlangan yang lestari dan hakiki adalah kehidupan di dalam syurga Allah yang disediakan untuk orang-orang yang telah menang dalam kehidupan di dunia yang sementara ini.

No comments: