Thursday, July 13, 2006

TAK LAPUK DEK HUJAN , TAK LEKANG DEK PANAS

Kebelakangan ini isu murtad sudah tidak asing lagi. Kalimah itu disebut tanpa membimbangkan sesiapa walhal pada hakikatnya perlu diberi perhatian yang teliti.
Allah menyebut darihal murtad di dalam Al-Quran, mafhumnya “Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah Ayat 217)
Wanauuzubillahi min zaalik (Kita Berlindung Dengan Allah) . Berita tentang kes murtad 100,000 orang Melayu Muslim di negara yang kita cintai baru-baru ini memang menyedihkan dan amat memalukan. Apa tidaknya , Malaysia adalah sebuah negara Islam contoh dan negara kepada pengerusi Pertubuhan Negara Islam (OIC) yang kini sedang rancak mencanang gagasan pelaksanaan pentadbiran negara berteraskan konsep “ Islam Hadhari ”. Cetusan isu aqidah ini telah menghambat seluruh warga kaum muslimin untuk memikirkan penyelesaian terbaik dengan mengenepikan perbezaan ideologi mahupun fahaman politik yang sempit dalam memastikan kemurnian aqidah umat Islam Malaysia terus terbela hingga ke hari kiamat.
Sebelum kita menganalisis bahaya jenayah murtad ini dengan lebih terperinci dan serius lagi eloklah dulu kita mengetahui perkataan murtad itu sendiri. Dari segi istilah murtad ialah menukarkan Agama Islam dengan agama yang lain, menafikan segala ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallahu Alai Wasallam dan menolak sunnahnya yang tinggi murni itu. Orang-orang yang murtad pula menafikan kerasulan Nabi Muhammad SAW juga menolak kenabian (Nubuwwah), wahyu dan adanya hari kiamat.
Pemahaman tentang murtad ini mesti dikuasai oleh setiap individu masyarakat Islam. Setiap ibadah ada perkara – perkara yang boleh membatalkan ibadah tersebut. Begitu juga halnya dengan lafaz syahadah yang kita lafazkan sebagai bukti pengakuan keimanan kita. Penyerahan total selepas mengucapkan dua kalimah penyaksian ini termasuklah iktiqad, percakapan dan perlakuan kita kepada cara hidup Islam. Murtad boleh terjadi pada bila-bila masa dan di mana-mana jua. Apabila iqtiqad (perlakuan hati), percakapan dan perlakuan fizikal kita membuktikan kerelaan kita memilih selain Islam sebagai agama pada ketika itu pintu murtad akan terbuka. Di sinilah terpancarnya hikmah Ilahi dalam mensyariatkan ibadat solat yang padanya ada pembaharuan syahadah ketika kita melafazkannya dalam bacaan tasyahhud.
Apabila seseorang mukmin itu murtad, dia akan menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan umat Islam yang lain. Mereka akan melahirkan kemarahan yang tidak terhingga terhadap si murtad itu dan akan memutuskan segala perhubungan sosial dengannya. Orang-orang yang menukar agamanya akan dipandang jijik dan dia tidak akan menjadi anggota masyarakat di tempat dia dilahirkan. Kaum keluarganya sendiri tidak akan mengakuinya sebagai anggota keluarga. Bahkan yang lebih dahsyat lagi masyarakat Melayu muslim dahulu sanggup berjuang habis-habisan dan bermati-matian hanya untuk mempertahankan aqidah seorang anggota masyarakatnya.
Demikianlah beberapa reaksi masyarakat Melayu muslim dahulu bila mana berhadapan dengan penderhaka kepada agama. Sejarah telah membuktikan kesungguhan ini. Jika kita mengimbas kembali kes Natrah yang berlaku pada tahun 1950. Natrah dibesarkan sebagai seorang Islam dan tinggal di Kemaman, Terengganu sehingga berusia 13 tahun. Beliau dipelihara oleh ibu angkat yang bernama Che Aminah. Bapa Natrah telah membuat perancangan sehingga Che Aminah terpaksa pergi ke mahkamah Singapura. Setibanya di Singapura, Che Aminah diperintahkan oleh mahkamah untuk menyerahkan Natrah kepada Konsul Jeneral Belanda. Akhirnya Natrah diserahkan kembali kepada Che Aminah. Kerana takut peristiwa ini berulang, Natrah telah dikahwinkan ketika berusia 13 tahun dengan Mansor Adabi. Masyarakat Melayu Islam di Singapura ketika itu membantah, dan ramai yang mati syahid dalam pertempuran dengan tentera British. Apa yang menyedihkan kini ialah nilai sensitiviti masyarakat terhadap isu murtad ini terus pudar dan sirna.
Fenomena murtad ini adalah penyakit sosial yang pastinya akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Jenayah murtad merupakan proses kembali kepada kekufuran atau kesyirikan setelah mengakui keimanan . Dosa syirik terlalu besar sehinggakan Allah mengampuni dosa-dosa yang lain kecuali syirik iaitu menyukutukan Allah. Peringatan ini perlulah dihayati dan disebarkan kepada yang lain agar terus berwaspada. Firman Allah dalam Surah An-Nisaa’ Ayat 48, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakinya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.”
Kenapakah jenayah murtad ini terjadi ? Apakah umat Islam Malaysia terlalu jahil hingga sanggup menolak kebenaran Allah Yang Maha Esa dan kesucian agama Islam lantas memilih tuhan-tuhan lain atau ideologi-ideologi sesat yang lain? Apakah bangsa kita terlalu mencintai dunia yang sifatnya indah tetapi sementara, sedangkan nikmat di akhirat itu lebih kekal abadi dan hanya boleh dirasai dengan rasa keimanan yang hakiki? Mungkin jua dek kerana hidangan hiburan yang melampau-lampau sehingga timbul budaya hedonisme yang tampak tiada batasan mahupun sekatan. Seribu satu persoalan akan terus-menerus timbul andai kata masalah aqidah ini tidak diatasi segera.
Sesungguhnya umat Islam adalah umat yang mengutamakan kesatuan. Bermula dengan kesatuan dari segi Tauhid Uluhiyyah kepada Allah Yang Maha Esa, bersatu melaksanakan suruhan dan meninggalkan laranganNya dalam Al-Quran, bersatu menuruti sunnah baginda rasul junjungan, bersatu sehati sejiwa menghadap qiblat yang satu ketika solat didirikan dan kita jua adalah umat yang bersatu dalam menyelesaikan segala permasalahan yang mengancam aqidah ummah. Tuntasnya renungilah kalamNya ayat 59 Surah An-Nisa’ kepada kita untuk menyelesaikan apa jua masalah.
Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul Nya dan Ulil Amri di antara kamu, kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu (masalah), maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu (mengembalikan penyelesaian menuruti Al-Quran dan As-Sunnah) itu lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya.”
Pemulihan aqidah wajar dilaksanakan dengan mekanisme yang mapan dan utuh manakala seruan agar kembali kepada ajaran Islam wajib dijalankan dalam had tempoh yang telah ditetapkan. Namun bagaimana pula kalau penjenayah murtad ini tetap memilih kegelapan kebatilan dari terus berada dalam cahaya kebenaran Islam? Sudah tentulah pelaksanaan undang-undang yang berbentuk mengelak lebih baik daripada merawat (al-wiqayah khairun min al-‘ilaaj) seperti Hukuman Hudud yang menetapkan hukuman bunuh bagi penjenayah murtad yang tetap tidak kembali kepada ajaran Islam mesti dikaji untuk dilaksanakan dalam menzahirkan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Allah dan RasulNya. Penjenayah murtad akan terus murtad, perangkaan mangsa jenayah murtad akan terus bertambah dari hari ke hari manakala generasi kini dan akan datang bakal menjadi mangsa jenayah murtad.
Pesuruh Allah yang mana risalah pengutusannya adalah menjadi Rahmat untuk sekelian manusia dan alam keseluruhannya telah bersabda “sesiapa yang menukar agamanya maka hendaklah dia dibunuh ”. Inilah antara isyarat penting yang pastinya akan menjadi pedoman buat kita selaku orang yang telah mengaku beriman kepada baginda . Bukankah Khalifah Abu Bakar As Siddiq, Khalifah Islam yang pertama juga telah memerangi golongan riddah yang hanya menafikan kefarduan zakat setelah mana kewafatan baginda rasul. Perang bukannya kerana nafsu tetapi perang baginda kerana ketaatan kepada Allah dan Rasul demi menegakkan Syiar Islam yang tercinta.
Allah telah berjanji dan Allahlah sebaik-baik penunai janji. Sesungguhnya masa depan adalah milik syariat Islam. Syariat agama milik pencipta alam maha esa yang sentiasa evergreen, selagi bulan dan matahari masih ada. Bagai kata pepatah ‘Tak Lapuk Dek Hujan Tak Lekang Dek Panas’. Buat renungan orang-orang beriman, “Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Aali Imran:85)
Marilah kita memahami fenomena murtad ini agar orang-orang yang hampir dengan kita tidak terjebak ke arahnya. Barah dalam kehidupan umat Islam ini akan melenyapkan keizzahan agama Islam dan mengundang bala yang tidak dapat dijangkakan.



cui al-dikki

No comments: