Thursday, January 31, 2008

Azam Yang Membara



Kini tahun baru menjelang semula. Seseorang yang hebat tidak akan membiarkan masa berlalu tanpa meletakkan sasaran pada tahun ini. Perancangan tanpa iringan keazaman yang membara akan kecundang jua akhirnya. Namun azam yang membara juga tidak akan ke mana jika gagal merealisasikan apa yang dirancang.

Permulaan tahun baru ini merupakan masa terbaik mencetuskan lonjakan awal kerana selalunya kita memiliki azam yang membara setiap kali menjelang hari baru di tahun baru. Permulaan yang baik akan membantu kita mengecap tahun 2008 sebagai tahun penuh kecemerlangan. Syair arab pernah menyebut :

من لم يكن بدايته محرقة * فليس له نهايته مشرقة

“Sesiapa yang tidak memiliki pemulaan yang berkobar - kobar nescaya dia tidak akan memiliki pengakhiran yang bersinar”

Justeru itu, kita masih belum terlambat untuk menepuk dada dan bertanya kepada hati kecil apakah yang kita janjikan untuk tahun ini? Apa perancangan untuk mencapai impian yang telah disasarkan? Bagaimana pula jiwa dan semangat untuk mengecapinya?

Sebagai seorang mahasiswa, keseimbangan kecemerlangan antara akademik dan keunggulan syaksiah diri mungkin boleh memandu kita ke arah keterbilangan menjelang tahun baru 2008 ini. Mahasiswa yang sarat dengan visi dan misi pasti bersemangat waja untuk mengecap cita-cita.

Bayangkan mahasiswa tanpa imaginasi kecemerlangan dan tiada langsung semangat membara untuk menempah kejayaan. Sudah tentu sikap mereka hanya cukup makan dengan apa yang ada, hasil kerja sambil lewa, tiada istilah cemburu yang menjana perlumbaan mengejar kegemilangan sesama teman perjuangan dan yang lebih dahsyat mereka lebih selesa untuk memilih kehidupan dalam dunia mereka sendiri. Hidup penuh keseronokan dengan pasangan sendiri sedangkan diri menuju kehancuran tanpa disedari.

Penghayatan hijrah melalui azam tahun baru juga mestilah bermula dengan diri sendiri. Setiap diri kita merupakan nukleus kepada masyarakat. Nukleus ini akan mencorakkan situasi sebenar sesebuah komuniti. Kuat atau lemah struktur sel masyarakat adalah dinilai kepada nukleus ini. Lihatlah kepada diri kita akhirnya kita akan mengetahui hakikat masyarakat kita pada hari ini.

Medan pembentukkan nukleus ini adalah di dalam sebuah institusi yang dinamai dengan keluarga. Tanpa keluarga yang bahagia dan stabil maka struktur masyarakat akan menjadi pincang dan tempang. Sudah tentu pencorak kepada sesebuah keluarga adalah ayah dan ibu. Melalui penghayatan hijrah dalam kehidupan keluarga setiap pemimpin keluarga mesti meletakkan keazaman yang membara untuk menyediakan keluarga yang terbaik. Hasilnya anak-anak yang dilahirkan ke dalam komuniti masyarakat adalah anak yang berbakti dan berbudi kepada warga sekitar di mana jua dia berada.


Keluarga terbaik adalah keluarga yang memiliki pemimpin yang terbaik. Pemimpin keluarga umpama hati dalam anggota. Andai hati itu elok maka eloklah seluruh anggota jika hati itu kotor maka rosaklah seluruh jasad yang memiliki hati yang kotor itu. Baginda tidak pernah jemu memotivasikan para pengikutnya. Renunglah pesanan nabi dalam mengobarkan semangat untuk melakukan perubahan yang bermula dengan hati kerana hati adalah raja kepada badan :

ألا إن فى الجسد المضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله الأ وهى القلب

Sesungguhnya dalam jasad itu ada seketul daging, apabila elok daging itu maka eloklah seluruh badan dan jika rosak hati itu maka binasalah seluruh badan, seketul daging itu adalah hati.