Wednesday, September 27, 2006

RAMADHAN PENJANA BIAH SOLEHAH

Bulan Ramadhan telah dimuliakan oleh Allah SWT mengatasi bulan-bulan yang lain. Ramadhan mampu menjana satu suasana yang cukup indah bagi orang-orang beriman. Siang dan malam silih berganti di Bulan Ramadhan, pastinya diwarnai dengan kepelbagaian corak warna-warni pengibadatan kepada Allah dengan penuh ketaatan dan iringan keikhlasan sejati kepadaNya.
Keindahan hidup dalam suasana penghayatan Islam inilah yang dikenali dengan “Biah Solehah”. “Biah” adalah kalimah Arab yang bermaksud suasana, keadaan dan juga persekitaran. Manakala “Solehah” pula ialah semua yang baik pada perspektif syarak iaitu menyuruh melakukan yang baik (makruf) dalam masa yang sama menghalang dari melakukan yang jahat (mungkar) pada pandangan Islam.

Pembentukan “Biah Solehah” pasti akan tercapai melalui penghayatan amalan-amalan di Bulan Ramadhan. Ramadhan telah mendisplinkan kehidupan semua mukmin dengan bersahur di awal pagi seterusnya menghabiskan masa sebelum subuh dengan latihan bangun malam untuk beribadah (qiyamullail) walaupun memadai dengan sekadar 2 rakaat Solat Sunat Tahajud.

Biah Solehah di bulan berkat ini juga akan terhasil melalui kefardhuan berpuasa sebulan di Bulan Ramadhan. Puasa yang dikehendaki agama bukannya semata - mata merasai keperitan lapar dan dahaga tetapi juga mesti menahan semua anggota badan dari melanggar tegahan Allah dan RasulNya. Inilah hakikat puasa khusus yang telah digariskan oleh Imam Nawawi Rahimahullah dalam Kitabnya Ihya Ulumuddin. Puasa kategori ini akan berjaya menundukkan hawa nafsu yang bersarang dan bertakhta di jiwa menjadi lemah dan patuh kepada perintah Allah seterusnya lahirlah hamba yang akan takut untuk menerjah sempadan larangan-larang AllahS.W.T.

Rasulullah SAW adalah model pemimpin yang telah berjaya membentuk biah solehah. Strategi yangbaginda gunakan adalah terlalu mudah untuk kita mencontohinya. Hanya melalui dua langkah yang mudah iaitu pembacaan Al-Quran secara bertadarus dan pengamalan segala hukum hakam yang terkandung di dalamnya. Itulah serampang dua mata senjata ampuh yang amat berkesan dalam melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana Biah Solehah.

Alangkah indahnya suasana “Biah Solehah” di Bulan Ramadhan ini dapat dilestarikan hingga ke hari-hari seterusnya di bulan-bulan yang lain. Para sahabat dulu menangisi pemergian Ramadhan dan berdoa agar setiap bulan adalah bulan Ramadhan. Pengamalan yang berterusan hasil didikan dan latihan di Bulan Ramadhan itulah yang menjadi harapan kerana para ulama’ pernah bermadah "Beristiqamah dalam ibadat adalah lebih baik dari memiliki 1000 karamat".

Monday, September 25, 2006

Hilal Ramadhan Kehadiran yang dinanti

Penantian seluruh umat Islam kini berakhir dan pesta ibadah pun bermula dengan kehadiran hilal Ramadhan 1427 H.

Kehadiran Tetamu Agung dan Istimewa ini amat ditunggu kerana ianya hadir dengan pelbagai ‘ buah tangan ’ untuk menjadi rebutan semua Umat Baginda Sallahu Alai Wasallam yang mencintakan kebaikan dan mencari keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan`.

Ramadhan menjanjikan keampunan bagi pelaku maksiat dan menjanjikan banyak ganjaran yang berlipat ganda kepada pencinta kebaikan. Bahkan sehingga 70 kali gandaan dan lipatan di sisi Tuhan mengikut keikhlasan dalam pengibadatan.

Baginda selalu mengingatkan umat baginda tentang kedatangan tetamu istimewa ini dengan hadisnya bahawa “ Ramadhan Adalah Bulan Rahmat di awalnya, Bulan Maghfirah di pertengahannya dan pengakhirannya adalah Bulan Pelepasan dari api neraka” . Orang yang bijak tidak akan membiarkan peluang berlalu begitu sahaja.

Universiti Ramadhan


Ramadhan adalah sebuah institusi pentarbiyyahan ( pendidikan ) yang terulung bagi semua orang-orang mukmin. Anugerah yang telah ditawarkan oleh Universiti Ramadhan bagi setiap mukmin yang telah mengikuti kursusnya ialah Ijazah Ketaqwaan Dengan Kepujian. Iaitu satu pujian dan sanjungan dari Allah SWT sendiri berdasarkan firmanNya :

“ Wahai Orang-Orang Beriman Difardhukan Kepada Kamu Berpuasa Pada Bulan Ramadhan Seperti Mana Telah Difardhukan Kepada Umat Sebelum Kamu Mudah-Mudahan Kamu Bertaqwa. ” (183 al-Baqarah)

Sesungguhnya anugerah ketaqwaan adalah darjat tertinggi yang telah Allah kurniakan. Ketaqwaan menurut Saidina Ali Karramallahu Wajhah ialah takutkan kepada Allah Al Jalil, beramal dengan At-Tanzil (Al-Quran), berasa cukup (Qana'ah) dengan yang sedikit dan membuat persediaan untuk hari kematian.
Ketaqwaan adalah jaminan kebahagiaan kehidupan dunia & akhirat dan satu-satunya sanjungan Allah kepada para hambanya yang bertaqwa selepas menjalani ibadah puasa di Bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

Ramadhan Bulan Sedekah

Ibadat bersedekah adalah amalan yang dapat membuktikan kebenaran keimanan kepada Allah SWT. Ganjaran ibadah ini jika diamalkan pada Bulan Ramadhan akan dilipatgandakan oleh ALLAH SWT mengikut tahap keikhlasan hamba kepada penciptanya. Ramadhan adalah medan terbaik untuk bersedekah.
Allah menjanjikan banyak ganjaran melalui sedekah ini samada di dunia dan di akhirat : Antara kelebihan Bersedekah terutama di Bulan Barakah ini ialah :
Memurahkan rezeki.
Kehidupan menjadi tenang.
Memanjangkan umur dan diberkati umur dalam kebaikan.
Mati dalam keadaan yang baik di mana amalan diterima dan roh disambut oleh malaikat.
Menghapuskan dosa-dosa dan memadamkan kemurkaan Allah.
Meningkatkan darjat disisi ALLAH.

Monday, September 04, 2006

Khutbah Jumaat : Jihad Membantu Saudara Seaqidah



Sidang Mukminin Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Mimbar pada hari ini ingin terus menerus berpesan dan memberi ingatan kepada diri sendiri dan tuan-tuan marilah kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Ketakwaan adalah sumber kekuatan dan sebaik - baik bekalan dalam perjalanan menuju tuhan. Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar - benar taqwa dan janganlah kita mati melainkan kita dalam keadaan Islam. Bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kita semua mendapat petunjuk dan setiap dosa yang telah kita lakukan akan diampunkan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal Ayat 29:

Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan memberikan kepadamu furqan iaitu petunjuk yang dapat membezakan antara yang haq dan yang batil dan DIA akan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan ALLAH mempunyai kurnia yang besar.

Sidang Jemaah Sekalian,
Minggu ini adalah minggu ketiga dan merupakan minggu terakhir kempen Bersamamu Palestin Lubnan anjuran Jawatankuasa Bersamamu Palestin Lubnan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kejuruteraan. Minggu pertama kempen ini dilancarkan tabung kita berjaya mengutip Ringgit Malaysia 1400. Minggu lepas Alhamdulillah kutipan kita untuk rakyat Palestin & Lubnan terus meningkat kepada Ringgit Malaysia 1600, Biar pun minggu ini minggu terakhir kempen ini dijalankan, namun bagi kita, tidak ada istilah berhenti @ cukup sekadar ini sahaja tetapi kita mestilah berazam dan berjanji akan sentiasa terus-menerus menolong perjuangan menegakkan agama Allah, meninggikan syiar Islam. Walaupun apa yang telah kita berikan itu tidak banyak tetapi komitmen dan istiqamah kita dalam membantu tetap akan menjadi saksi dan bukti di hadapan ilahi.
Sumbangan yang sedikit tetapi berterusan adalah sebaik-baik amalan yang dicintai Tuhan. Sabda Nabi Muhammad SAW :

Sebaik amalan ialah apa yang dilakukan secara berterusan sekalipun ianya sedikit.

Sidang Jemaah Yang Diberkati Allah Sekalian,

Setiap harta yang Allah pinjamkan kepada kita akan ditanya pada hari kiamat nanti. Daripada mana harta tersebut diperolehi dan ke mana pula harta itu dipergunakan. Bergembiralah kepada sesiapa yang telah berjaya melaksanakan amanah harta pinjaman Allah dengan meletakkannya pada tempat yang sukai oleh Allah.
Sabda Nabi SAW :

Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat sehinggalah ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan, tentang masa mudanya ke mana dihabiskan, tentang hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana pula dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang diperbuat dengannya.

Sumbangan wang ringgit dan harta benda untuk membantu saudara seaqidah mempertahankan aqidah dan nyawa mereka di Palestin dan Lubnan adalah satu kewajipan jihad kepada setiap orang Islam. Dr Yusof Al Qardhawi seorang ulama’ semasa yang cukup terkenal telah menfatwakan hukum membantu umat Islam Palestin yang ditindas adalah wajib. Setiap harta yang disumbangkan pada jalan Allah akan menjadi penyelamat kita dari azab neraka yang terlalu pedih seksaannya. Buktinya ialah firman Allah dalam Surah

As-Sof ayat 10-11 :

Wahai orang-orang yang beriman! mahukah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Sidang Hadirin Ahli Jemaah Yang Di Rahmati Allah Sekalian,

Setiap amalan pasti ada ganjaran yang setimpal dengannya. Yakinlah dengan sebenar-benar keimanan bahawa Allah SWT telah menjanjikan banyak ganjaran kepada pembantu-pembantu agama Allah. Antaranya ialah jaminan dari Allah untuk mengampunkan segala dosa kita, Allah akan memasukkan kita ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai dan Allah akan menempatkan kita di tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Firman Allah dalam Surah As-Soff Ayat 12

Maksudnya :
Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar.

Sidang Mukminin Sekalian,
Perumpamaan orang yang menginfakkan harta di jalan Allah adalah terlalu hebat. Lipatan sejarah Islam melalui kisah Malam Israk & Mikraj telah menunjukkan kepada kita kemuliaan ini. Ketika mana baginda diisrakkan ( iaitu diperjalankan dari Masjidil Haram di Mekkah ke Masjidil Aqsa di Palestin ) baginda telah diperlihatkan dengan satu kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil yang baru pula keluar seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Baginda Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibril ; Itulah kaum yang berjihad pada jalan Allah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. Allah Maha Berkuasa untuk menggangkat darjat hamba - hambanya ke darjat yang lebih tinggi bersesuaian dengan amalan yang telah dilakukan oleh mereka. Renunglah maksud hadis di bawah ini :
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه ان رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:
( من رضي بالله ربا وبالاسلام دينا وبمحمد رسولا
وجبت له الجنة)
فعجب لها أبو سعيد فقال اعدها علي يا رسول الله
فأعادها عليه . ثم قال :
( وأخرى يرفع الله بها العبد مائة درجة في الجنة ما بين كل درجتين كما بين السماء والأرض )
قال: وما هي يا رسول الله؟
قال : ( الجهاد في سبيل الله . الجهاد في سبيل الله ) رواه مسلم
Maksudnya :
Daripada Abi Said Al-Khoudri Radiallahu, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang telah redho Allah sebagai tuhannya, Islam sebagai cara hidupnya dan Muhammad itu itu rasulnya maka baginya ialah Syurga. Abu Said menjadi kagum mendengar ucapan baginda lalu berkata : Ulangi lagi kepadaku wahai Rasulullah SAW, lalu baginda mengulanginya. Dan kemudiannya baginda berkata ; Dan Allah akan menggangkat darjat seseorang hamba yang melakukan satu amalan hingga 100 darjat di dalam syurga yang mana setiap satu darjat dengan darjat yang lain sepertimana jarak langit dan bumi. Lalu bertanya Abu Said Al Khoudri amalan apakah itu wahai Rasullullah? Baginda bersabda : Berjihad di jalan Allah, Berjihad di jalan Allah.
( Hadis Riwayat Muslim )
Sidang Mukminin Yang dirahmati Allah Sekalian
Genjatan senjata bukanlah satu jaminan tiada lagi serangan Kuffar terhadap Islam. Krisis pertembungan di antara Islam dan Kafir adalah fenomena yang akan berkekalan dan sentiasa ada hinggalah berlakunya hari Kiamat. Sungguhpun Selatan Lubnan telah menerima proses damai melalui genjatan senjata antara Hizbullah dan Israel tetapi ianya tidak lebih hanyalah sandiwara semasa puak Yahudi. Kini jelas dan nyata bahawa Bangsa Yahudi memang tidak akan memahami bahasa perdamaian. Mereka dengan angkuh dan sombong telah meneruskan serangan ke bumi Lubnan dan melancarkan misi pengeboman di Negara Palestin yang kini barang kali sudah mula dilupai oleh seluruh dunia kerana terlalu menumpukan perhatian kepada Selatan Lubnan. Yang tetap menjadi persoalan ialah Negara Umat Islam yang mana pula yang akan menjadi sasaran seterusnya serangan puak kuffar? Apa yang pasti ialah kita mestilah bertindak melakukan perancangan dan persiapan dari segi kekuatan ketenteraan agar tidak mudah kalah apabila tiba masanya. Hayatilah pesanan Saidina Ali Karramallahu Wajhah :

Maksudnya ;
Kebenaran tanpa perancangan sudah tentu akan ditewaskan oleh Kebathilan yang memiliki perancangan rapi.

Laksanalah perintah Allah melalui ayat 60 dalam Surah Al - Anfal


Maksudnya :
Dan sediakanlah untuk menentang mereka ( musuh yang menceroboh ) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu sedang kamu tidak akan dianiaya.

Sidang Mukminin Yang Berbahagia Sekalian,

Dikesempatan masa negara kita hangat dan kecoh menyambut musim kemerdekaan dengan kibaran jalur gemilang dan pesta keraian marilah kita bangkit membantu sedaya upaya untuk membebaskan Masjidil Aqsa yang sejak tahun 1948 dahulu sehinggalah kini masih dijajah dan bakal dimusnahkan oleh Yahudi Laknatullahi Alaihim. Masjidil Aqsa adalah Qiblat pertama bagi Umat Islam dan tempat suci lagi diberkati yang ketiga selepas Masjidil Haram Di Makkatul Mukarramah dan Masjidin Nabawi Di Madinatul Munawwarah. Allah SWY telah memberkati Masjid Al-Aqsa ini dan kawasan di sekitarnya melalui firmannya dalam Ayat 1 dalam Surah Al-Israk.

Maksudnya :
Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram ( di Mekah ) ke Masjid Al-Aqsa ( di Palestin ), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda ( kekuasaan dan kebesaran ) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Rasulullah SAW juga memberi pesanan kepada umatnya dan baginda memuliakan Masjidil Aqsa ini dengan sabda baginda ;


Maksudnya ;
Tidak perlu bersungguh-sungguh untuk bermusafir melainkan menuju ke 3 Masjid iaitu Masjidil Haram di Mekah, Masjidin Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Palestin.

Sidang Mukminin Penolong Agama Allah Sekalian,
Bagi setiap Rasul itu Allah kuatkan mereka dengan penolong-penolong agama yang akan bersungguh-sungguh membantu rasul mempertahankan agama. Nabi Allah Musa dibantu oleh Nabi Allah Harun dan 12 orang naqib yang lain, Nabi Allah Isa dibantu oleh golongan Al-Hawariyyun manakala Nabi kita Muhammad SAW pula dibantu oleh Golongan Muhajirin dan Golongan Ansor. Tetapi kini, di saat zaman orang sudah membenci agama bahkan telah menghina agama lalu siapakah yang akan tampil menjadi pembantu penegak agama. Allah SWT telah menjanjikan kemenangan kepada pembantu agamaNya seperti mana Allah telah memenangkan tentera Badar di zaman baginda dan memberi pertolonganNya kepada tentera Hizbullah.

Benarlah janji Allah dalam ayat 13 Surah As-Sof

Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat ( masa berlakunya ) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.

Sidang Mukminin Sekalian,
Kita adalah golongan orang yang beriman kepada Allah, apakah kita tidak mahu menyahut seruan khabar gembira yang Allah sampaikan hanya kepada orang beriman dan apakah kita tidak terasa untuk terpanggil menjadi penolong-penolong Agama Allah dalam FirmanNya dalam ayat yang terakhir Surah As - Sof yang mana hanya penolong agama Allah sajalah yang akan mengecap nikmat kemenangan yang hakiki atau syahid menuju nikmat syurga yang sentiasa menanti dan dirindui.


Maksudnya :

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu : Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.